Malaysia risiko hilang akses pasaran AS hampir RM200 bilion tanpa perjanjian ART - Tengku Zafrul

MALAYSIA berisiko besar kehilangan akses pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan nilai eksport hampir RM200 bilion, kelangsungan lebih sejuta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS tidak dimeterai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat risiko keruntuhan rantaian bekalan dan pengalihan pelaburan bernilai besar ke negara lain.
"Oleh itu, dengan ART ini, pandangan kita, pandangan kerajaan Malaysia dapat mengekalkan daya saing kita terutamanya daya saing global, melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik dan semikonduktor serta memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah eksport ke AS pada 2024 merekodkan hampir RM200 bilion manakala pada 2025 melebihi RM200 bilion.
Menurutnya, perjanjian ART adalah mekanisme perlindungan ekonomi negara dan dipersetujui dengan pertimbangan yang mendalam.
Tengku Zafrul berkata, dakwaan bahawa ART menguntungkan AS semata-mata adalah tidak benar kerana ART sebenarnya turut melindungi eksport Malaysia daripada tindakan tarif unilateral.
Katanya, Malaysia sebagai negara pengeksport bersih memperoleh faedah yang besar melalui kepastian akses pasaran AS.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, dakwaan bahawa ART akan mengikat dasar Malaysia juga tidak tepat memandangkan ART tidak memerlukan Malaysia meliberalisasi tarif atau membuka pasaran secara tidak seimbang, dan ia tidak menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan atau keselamatan dalaman.
Mengulas dakwaan bahawa ART menjejaskan hubungan Malaysia-China, beliau berkata, ART adalah perjanjian perdagangan dan bukannya perjanjian pakatan geopolitik.
"Oleh itu, kita terus kukuhkan akses kita kepada pasaran lain seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA3.0), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan platform ASEAN-China," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia berisiko besar kehilangan akses pasaran Amerika Syarikat dengan nilai eksport hampir RM200 bilion dan kelangsungan lebih sejuta pekerjaan tanpa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART)
- Terdapat risiko keruntuhan rantaian bekalan dan pengalihan pelaburan bernilai besar ke negara lain tanpa ART
- ART bertujuan melindungi eksport bernilai tinggi Malaysia terutamanya dalam sektor elektrik, elektronik dan semikonduktor
- Perjanjian ART melindungi eksport Malaysia daripada tindakan tarif unilateral dan memberikan kepastian akses pasaran AS
- ART tidak memerlukan liberalisasi tarif secara tidak seimbang dan tidak menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, atau keselamatan dalaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
