Polis Kedah tempatkan anggota di PPS cegah jenayah

Adzli (dua dari kanan) melihat makanan yang dibekalkan kepada mangsa terjejas di PPS Dewan Wawasan Jitra, pada Rabu.
Adzli (dua dari kanan) melihat makanan yang dibekalkan kepada mangsa terjejas di PPS Dewan Wawasan Jitra, pada Rabu.
A
A
A

JITRA - Polis Kedah mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan anggota bertugas selama 24 jam di 20 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini sebagai langkah keselamatan.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan kejadian jenayah berlaku di PPS.

"Kita tempatkan di sini secara statik bukan sahaja nak permudahkan dari segi report polis segala-galanya maknanya dia akan buat rondaan, mangsa di sini perlu sedar bahawa kehadiran polis, mangsa semua tahu mereka ini beruniform...apa jua permasalahan terus tampil.

"Anggota yang ditempatkan di sini akan meronda, bercampur dengan mangsa, mendengar apa masalah dan saya percaya dengan kehadiran polis, akan menghindarkan risiko untuk berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di PPS Dewan Wawasan Jitra, pada Rabu.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang laporan diterima membabitkan kehilangan harta benda atau insiden jenayah di PPS.

Dalam masa sama, beliau menasihati mangsa supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengikut arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.

Menurutnya, setakat ini, dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar terjejas membabitkan 3,049 mangsa daripada 1,021 keluarga.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti 22 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah termasuk empat kakitangan awamnya yang terjejas akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang mangsa, Konstabel Muhammad Rizanni Abdullah, 40, dari Taman Seri Kelubi dekat sini berkata, hanya berjaya menyelamatkan diri sehelai sepinggang kerana air banjir naik mendadak semalam.

"Saya, isteri dan empat anak hanya fikirkan keselamatan diri kami. Kereta pun tak sempat selamatkan, tak tahulah apa jadi kat rumah sekarang, air naik kira-kira separas pinggang," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Wawasan Jitra pada Rabu.

Ringkasan AI

  • Polis Kedah menempatkan anggota bertugas 24 jam di 20 Pusat Pemindahan Sementara untuk mengelak jenayah
  • Pendekatan ini membolehkan anggota polis melakukan rondaan dan bercampur dengan mangsa
  • Tiada laporan kehilangan atau insiden jenayah di PPS setakat ini
  • Dua daerah Kubang Pasu dan Kota Setar terjejas dengan 3,049 mangsa dari 1,021 keluarga
  • 22 warga Polis Diraja Malaysia Kedah termasuk empat kakitangan awam terjejas akibat banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!