Insiden Gunung Liang: Perak perketat kawalan, keselamatan aktiviti pendakian

Saarani menjawab soalan dikemukakan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) dalam Sidang Dewan Negeri pada Khamis.
Saarani menjawab soalan dikemukakan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) dalam Sidang Dewan Negeri pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melalui Jabatan Perhutanan negeri sedang menyiapkan beberapa inisiatif keselamatan yang lebih komprehensif bagi meningkatkan keselamatan aktiviti pendakian susulan insiden kematian seorang pendaki di Gunung Liang, Oktober lalu.

Dalam sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu termasuk Kajian Risiko Kemalangan dan Bencana di Kawasan Pendakian.

Menurut beliau, kajian tersebut akan membantu kerajaan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan menambah baik langkah pencegahan sebelum sesuatu insiden berlaku.

"Pada masa yang sama, Jabatan Perhutanan turut meneliti penggunaan sistem pemantauan dan penilaian secara masa nyata (real-time) bagi kawasan pendakian berisiko tinggi.

"Ini penting untuk meningkatkan kecekapan tindak balas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya menjawab soalan dikemukakan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) pada Khamis.

Saarani berkata, sebagai langkah kawalan tambahan, Jabatan Perhutanan negeri kini melaksanakan Kajian Had Daya Tampung Kawasan Pendakian Tumpuan melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT).

Katanya, setakat ini, dua kajian telah disiapkan bagi Daerah Hutan Kinta/Manjung dan Perak Selatan, dua lagi sedang berjalan di Hulu Perak dan Kuala Kangsar manakala satu di Larut serta Matang dijadualkan pada 2026.

"Hasil kajian ini akan membantu kerajaan negeri menetapkan kuota pendaki yang dibenarkan pada satu-satu masa bagi memastikan aktiviti pendakian dilakukan secara terkawal, selamat dan lestari," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Jabatan Perhutanan negeri juga telah menggubal prosedur operasi standard (SOP) Pendakian Hutan Simpan Kekal (HSK) bersama agensi keselamatan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Meteorologi serta Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

"SOP ini menjadi panduan pengurusan risiko, tindakan kecemasan dan tanggungjawab semua pihak berkaitan," katanya.

Anggota bomba membawa turun jenazah Mustaqqeem dari puncak Gunung Liang. Foto ihsan JBPM
Anggota bomba membawa turun jenazah Mustaqqeem dari puncak Gunung Liang. Foto ihsan JBPM

Mengulas kematian pendaki, Allahyarham Mustaqqeem Mansor itu, Saarani berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan.

Tambahnya, sehingga kini, seramai 11 individu terdiri daripada dua malim gunung perhutanan dan sembilan pendaki telah disiasat di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 kerana memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit.

"Perak mempunyai 55 kawasan pendakian di dalam HSK dan semua aktiviti diwajibkan memohon Permit Memasuki HSK secara dalam talian bagi membolehkan pemantauan bilangan pendaki dilakukan secara sistematik.

"Bagi pendakian pada ketinggian melebihi 500 meter, penyertaan Malim Gunung Perhutanan (MGP) adalah wajib,di samping pematuhan SOP pendakian.

"Bagi aktiviti pendakian rentas negeri, Jabatan Perhutanan negeri akan terus berunding dengan Jabatan Perhutanan Kedah, Kelantan dan Pahang bagi menyelaras keperluan keselamatan serta penguatkuasaan," katanya.

Dalam kejadian Oktober lalu, Allahyarham Mustaqqeem ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring seorang diri di puncak Gunung Liang akibat hipotermia atau kesejukan melampau.

Susulan kejadian itu, kawasan pendakian Gunung Liang dalam daerah Perak Selatan ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak memperketatkan kawalan dan meningkatkan keselamatan pendakian susulan kematian pendaki di Gunung Liang
  • Kajian Risiko Kemalangan dan Bencana di Kawasan Pendakian akan dilakukan untuk mengenal pasti kawasan berisiko
  • Penggunaan sistem pemantauan dan penilaian secara real-time di kawasan berisiko tinggi
  • Pelaksanaan Kajian Had Daya Tampung akan membantu menetapkan kuota pendaki
  • Kerajaan negeri telah menggubal SOP Pendakian Hutan Simpan Kekal bersama agensi keselamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!