PN gesa SPRM siasat, rasuah lebih RM600,000 kaitkan Shamsul

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan rasuah lebih RM600,000 yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, tindakan itu perlu dilakukan secara bebas selepas dakwaan pegawai kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri dikaitkan dalam skandal berkenaan.
"Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Takiyuddin, Ahli Parlimen PN memandang serius pendedahan seorang ahli perniagaan bahawa beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada Shamsul yang mana merupakan individu sama dikaitkan dengan skandal perlombongan mineral di Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.
"Ahli Parlimen PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
"Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih," tegas beliau.
Sebuah portal berita melaporkan, ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei mendakwa, beliau memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Menurut Tei, beliau telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit untuk menguatkan dakwaannya.
Antara lain, beliau mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah iaitu satu di Bangsar, Kuala Lumpur serta kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.
Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan itu.
Pada 18 November lepas, Anwar mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dibuat.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digesa siasat dakwaan rasuah melibatkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin
- Tindakan bebas diperlukan untuk menjaga integritas inisiatif kerajaan memerangi rasuah
- Ahli perniagaan mendakwa memberi lebih RM600,000 kepada Shamsul Iskandar untuk tujuan tertentu
- Dokumen dan bukti termasuk resit selain perbualan WhatsApp disusun sebagai sokongan dakwaan
- Rafizi Ramli menamakan Shamsul Iskandar sebagai penulis surat sokongan berkaitan kontraktor projek hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

