Curi pakaian butik berjenama, suami isteri direman empat hari

Butik pakaian lokasi kecurian dilaporkan.
Butik pakaian lokasi kecurian dilaporkan.
A
A
A

MELAKA - Pasangan suami isteri direman empat hari selepas disyaki terbabit dalam tiga kes kecurian pakaian di beberapa cawangan butik pakaian berjenama sekitar daerah Melaka Tengah minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan pada Isnin jam 2.10 petang berhubung kejadian yang berlaku antara jam 4.30 petang ke 5.30 petang pada 20 hingga 23 November lalu.

Menurut beliau, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pasangan berkenaan memasuki premis berkenaan dan mencuri pakaian sebelum melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Altis warna kelabu.

“Bertindak atas maklumat daripada siasatan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4) IPD Melaka Tengah telah menjalankan operasi pada Isnin lalu sekitar jam 1.30 pagi.

Lokasi kejadian yang dilaporkan berlaku kes kecurian pakaian butik berjenama.
Lokasi kejadian yang dilaporkan berlaku kes kecurian pakaian butik berjenama.

“Polis berjaya menahan pasangan suami isteri berusia 47 dan 44 tahun di kawasan Durian Tunggal dipercayai terlibat dalam kes kecurian tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu, polis turut merampas semula pakaian yang dipercayai dicuri dari butik berkenaan, selain merampas pakaian lain dan kenderaan Toyota Altis yang digunakan suspek semasa kejadian.

“Semakan rekod mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

“Penahanan pasangan ini membantu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes kecurian melibatkan kedai berkenaan di daerah tersebut,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 27 November 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Ringkasan AI

  • Pasangan suami isteri direman atas kes kecurian pakaian berjenama di Melaka Tengah
  • Rakaman CCTV tunjuk pasangan tersebut mencuri dan melarikan diri dengan kereta Toyota Altis
  • Pasangan berkenaan berusia 47 dan 44 tahun ditahan di Durian Tunggal
  • Polis merampas pakaian curi dan kereta Toyota Altis yang digunakan
  • Pasangan tiada rekod jenayah lampau, direman bagi membantu siasat tiga kes kecurian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!