Skandal pejabat hingga 'check in' hotel, pasangan suami isteri orang dicekup berkhalwat

KLUANG – [DIKEMAS KINI] Pasangan rakan sekerja yang masing-masing berstatus suami dan isteri orang dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini pada Selasa.
Menurut kenyataan JAINJ, serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi selepas penguat kuasa menerima maklumat mengenai pergerakan mencurigakan pasangan terbabit.
"Ketika serbuan, televisyen di dalam bilik dipasang kuat sehingga boleh didengari dari luar.
"Pintu hanya dibuka lebih lima minit kemudian oleh seorang lelaki memakai seluar jean dan t-shirt, namun dia cuba menutup semula pintu selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.
“Penguat kuasa menolak pintu dan masuk sebelum menutup televisyen. Tingkap yang terbuka turut diperiksa bagi memastikan tiada cubaan melarikan diri.
"Pemeriksaan di dalam bilik menemukan dua bungkus nasi lemak yang masih belum disentuh dan dua cawan kopi panas, manakala katil dan selimut didapati dalam keadaan berselerak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
JAINJ berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pintu tandas berkunci dan selepas beberapa kali diketuk serta diminta keluar, seorang wanita akhirnya muncul setelah dipujuk oleh lelaki berkenaan.
"Wanita itu lengkap berpakaian t-shirt, seluar panjang serta kain menutup kepala.
"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit berusia 50-an dan mempunyai isteri serta anak manakala wanita berusia 30-an juga berstatus isteri orang dan mempunyai anak.
"Kedua-duanya bekerja di tempat sama dan beza umur mereka adalah 18 tahun," katanya.
Menurut kenyataan itu, mereka berasal dari daerah berdekatan dan mengenali pasangan masing-masing.
"Hubungan mereka di pejabat berjalan seperti biasa dan tidak menimbulkan syak kepada mana-mana rakan sekerja,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut JAINJ, pasangan itu mengambil cuti rehat pada hari kejadian di mana suami wanita itu tidak mengetahui isterinya bercuti kerana melihatnya keluar rumah seperti biasa, manakala isteri lelaki tidak pernah bertanya sama ada suaminya bercuti atau tidak.
“Siasatan mendapati mereka masuk ke bilik hotel pada jam 8 pagi dan dijangka keluar pada jam 12 tengah hari pada hari sama.
"Kedua-duanya ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

