MTL: Mangsa banjir terima bantuan RM1,000 sebaik pulang

Khemah-khemah yang menempatkan mangsa banjir di Tumpat. Gambar kecil: Meor Ismail - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Khemah-khemah yang menempatkan mangsa banjir di Tumpat. Gambar kecil: Meor Ismail - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
A
A
A

KOTA BHARU — [KEMAS KINI] Mangsa banjir yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) akan menerima bantuan wang ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 sebaik sahaja pulang ke rumah.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim berkata, pembayaran akan disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada mana-mana akaun bank pemohon.

"Bagi mereka yang tiada akaun bank, tuntutan tunai boleh dibuat di kaunter BSN berdekatan selepas menerima notifikasi untuk memudahkan penerima menerima BWI berkenaan.

Meor Ismail - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Meor Ismail - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Hasrat kami jelas, apabila mereka keluar dari PPS, bantuan sudah masuk. Ini bertujuan membantu mereka membeli barangan keperluan asas hingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting di sini pada Selasa.

Menurut beliau, perkara penting ialah semua mangsa mesti berdaftar di PPS untuk melayakkan mereka menerima bantuan berkenaan.

Katanya, buat masa ini, belum ada penerima BWI kerana banjir masih dalam episod pertama Monson Timur Laut (MTL) dan belum ada pulang ke rumah dari PPS.

Artikel Berkaitan:

Pihak keselamatan yang melawat mangsa banjir di PPS SMK Geting. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Pihak keselamatan yang melawat mangsa banjir di PPS SMK Geting. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Saya ingatkan penduduk di kawasan berisiko agar berpindah lebih awal bagi memudahkan usaha menyelamat dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan menambah kekuatan sumber manusia dan aset agensi keselamatan pada bila-bila masa sahaja sekiranya bencana banjir semakin teruk.

"Ketika ini, kita mempunyai seramai 103,500 kekuatan sumber manusia termasuk 20,600 daripada pasukan polis, 15,640 (bomba) dan 15,390 (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia).

"Malah, kita mempunyai 39,687 aset termasuk 34,092 jaket keselamatan, 25 buah helikopter dan 1,172 trak," katanya.

Ringkasan AI

  • Mangsa banjir berdaftar di PPS akan menerima Bantuan Wang Ihsan RM1,000 sejurus pulang ke rumah
  • Pembayaran BWI akan disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bagi memudahkan penerima
  • Bantuan ini bertujuan membantu mangsa membeli barangan keperluan asas
  • Mangsa mesti berdaftar di PPS untuk layak menerima bantuan
  • Tiada penerima BWI setakat ini kerana banjir masih berlangsung dan mangsa belum pulang ke rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!