Tiada mangsa banjir isi VSP selepas pindah ke PPS - Polis Kelantan

TUMPAT - Polis mendedahkan tiada mangsa banjir yang mengisi borang Volunteer Smartphone Patrol (VSP) selepas pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, borang yang boleh diisi melalui apilikasi telefon pintar itu penting bagi memudahkan anggota melakukan rondaan di kawasan penempatan terkesan banjir.
"Bila kena pindah ke PPS, tolong isi borang VSP. Ini penting sebagai pemakluman kepada pihak kami bahawa rumah telah ditinggalkan kerana berpindah ke PPS.
"Ramai salah anggap kegunaan VSP hanya musim perayaan sahaja. Sebaliknya musim banjir ia memudahkan polis membuat rondaan berkala di penempatan yang terjejas dengan banjir," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau turun padang ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Keli di sini.
Menurut beliau, mangsa banjir yang berpindah ke PPS tidak perlu datang ke balai sebaliknya cukup dengan mengisi borang berkenaan menggunakan telefon pintar.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, setakat empat hari banjir di Kelantan, pihaknya belum lagi menerima sebarang aduan berkenaan kes pecah rumah melibatkan kawasan terjejas.
Bagaimanapun ujarnya, mereka yang berpindah dinasihat agar mengisi borang VSP bagi mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku.
Ringkasan AI
- Polis mendedahkan tiada mangsa banjir yang mengisi borang VSP selepas pindah ke pusat pemindahan sementara
- Borang VSP penting untuk memudahkan polis melakukan rondaan di kawasan penempatan terjejas banjir
- Mangsa banjir yang berpindah ke PPS cukup mengisi borang menggunakan telefon pintar tanpa perlu datang ke balai
- Ramai salah anggap kegunaan VSP hanya untuk musim perayaan, padahal ia membantu polis rondaan musim banjir
- Setakat empat hari banjir, tiada aduan kes pecah rumah dari kawasan terjejas, namun mangsa disarankan mengisi borang VSP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

