RSF umum gencatan senjata unilateral

KHARTOUM - Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada Isnin mengumumkan gencatan senjata unilateral selama tiga bulan, sehari selepas seteru mereka menolak cadangan perjanjian damai dikemukakan Amerika Syarikat (AS).
Angkatan separa tentera yang bertempur dengan askar pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan sejak April 2023 memaklumkan pengisytiharan tempoh bertenang sebelah pihak itu dibuat sebagai respons terhadap usaha empat negara perantara proses tersebut termasuk Presiden Donald Trump.
Mesej itu disampaikan menerusi rakaman mesej video oleh komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo yang juga bekas timbalan Burhan.
Pada Ahad, Burhan dengan lantang menggelar cadangan disampaikan Wakil AS, Massad Boulos bagi pihak negara perantara sebagai 'kertas kerja terburuk' dan tidak diterima kerajaan pimpinannya yang berpusat di Pelabuhan Sudan.
Pemimpin de facto itu turut mendakwa idea proses damai itu 'berat sebelah' kerana tidak berpuas hati dengan penyertaan Abu Dhabi selaku negara perantara selain cadangan supaya membubarkan angkatan tentera pimpinannya, namun mengekalkan kedudukan militia.
Konflik tiada kesudahan itu kembali meraih perhatian komuniti antarabangsa setelah RSF merampas El-Fasher yang merupakan bandar utama Darfur pada bulan lalu hingga mengundang kebimbangan tentang isu jenayah kemanusiaan dan genosid yang berleluasa ke atas orang awam.
Sejak lebih dua tahun lalu, pihak bertelagah di Sudan melanggar setiap perjanjian gencatan senjata di samping proses rundingan damai untuk menghentikan sengketa terus menemui jalan buntu. - AFP
Ringkasan AI
- Pasukan Sokongan Pantas (RSF) umum gencatan senjata unilateral selama tiga bulan
- Angkatan separa tentera mengumumkan keputusan itu sebagai respons kepada usaha empat negara perantara termasuk Presiden Donald Trump
- Pengumuman tersebut disampaikan menerusi rakaman video oleh komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo
- Jeneral Abdel Fattah al-Burhan menolak cadangan perjanjian damai oleh AS, menggelarnya 'kertas kerja terburuk'
- Konflik di Sudan mencetus kebimbangan antarabangsa tentang jenayah kemanusiaan dan genosid di Darfur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

