Suami, isteri berhabis RM50,000 bina sendiri stor 'penyelamat' barang

Kamsawiah menunjukkan stor baharu yang lebih tinggi dan luas dibina bagi menyimpan barangan di rumahnya setiap kali tiba musim banjir.
Kamsawiah menunjukkan stor baharu yang lebih tinggi dan luas dibina bagi menyimpan barangan di rumahnya setiap kali tiba musim banjir.
A
A
A

​HULU TERENGGANU – Sebuah keluarga di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong, Kuala Berang berhabis RM50,000 bagi membina stor simpanan barang untuk mengelak berdepan kerugian setiap kali musim tengkujuh.

Kamsawiah Shafie, 47, berkata, langkah itu diambil selepas lebih dua dekad berdepan masalah banjir selain stor sedia ada tidak lagi mampu menampung barangan yang disimpan.

Menurut Kamsawiah, dia bersama suami, Abdul Samat Mamat, 55, mengambil masa setahun membina stor tersebut dan berharap ia dapat digunakan sepenuhnya pada musim tengkujuh tahun hadapan.

​"Stor lama terlalu rendah dan sempit, jadi barang-barang yang disimpan di situ selalu rosak bila banjir. Bertambah letih bila dalam setahun berlaku dua hingga tiga kali banjir dan rumah dinaiki air.

"Setiap kali banjir, air akan naik antara dua hingga tiga meter dan ada juga lebih tinggi. Jadi, perabot dan barangan rumah akan rosak menyebabkan kami terpaksa tanggung kerugian berganda.

"Bila banjir lebih daripada sekali dalam setahun, kami perlu memindahkan barang berulang kali. Bila ada stor yang betul-betul selamat, kami rasa lega sedikit," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini baru-baru ini.

Menurut Kamsawiah, kerja-kerja pembinaan stor termasuk membancuh simen dan mengikat bata dilakukan sendiri bersama suami, sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan.

Jelasnya, rutin menghadapi banjir sejak 20 tahun lalu menyebabkan dia enggan membeli perabot baharu kerana bimbang tidak mempunyai tempat selamat untuk menyimpannya.

"Disebabkan kerja-kerja pembinaan stor baharu ini kami lakukan sendiri dan hanya dilakukan pada waktu terluang, proses untuk siapkan stor ini juga mengambil masa lebih lama.

Artikel Berkaitan:

"Kami jangka, stor baharu ini dapat digunakan ketika banjir tahun hadapan. Harap-harap ia mampu tampung semua barangan bila rumah ini dinaiki air," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hashim Ismail, 64, turut memilih pendekatan sama dengan membina struktur tambahan yang lebih tinggi bagi mengurangkan kerosakan harta benda.

"Sebelum ni, setiap kali banjir, saya akan pasang perancah besi untuk simpan barang-barang. Tapi saya rasa kaedah itu agak memenatkan.

"Jadi saya bina stor kekal yang lebih kukuh untuk simpan barang. Cuma, perlu pembinaan tu akan ambil masa untuk tunggu sumber kewangan mencukupi untuk siapkan sepenuhnya," katanya.

Menurut Hashim, struktur kekal yang lebih tinggi amat membantu menyimpan perabot besar yang sering rosak apabila air melimpah memasuki kawasan rumah.

"Dalam mana-mana banjir sama ada banjir besar atau kecil, mesti ada barang dalam rumah ini yang rosak.

"Kalau ada stor yang betul-betul selamat dan tinggi, ia boleh juga kurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung,"ujarnya.

Ringkasan AI

  • Sebuah keluarga di Kuala Berang berhabis RM50,000 untuk membina stor simpanan barang demi mengelak kerugian akibat banjir
  • Keluarga tersebut mengambil masa setahun untuk membina stor tersebut atas inisiatif sendiri
  • Stor yang lama tidak lagi sesuai digunakan kerana sering terendam banjir, menyebabkan barangan rosak
  • Kerja-kerja pembinaan stor dilakukan sendiri oleh keluarga ini untuk mengurangkan kos
  • Penduduk lain, Hashim Ismail, juga memilih untuk membina struktur tambahan yang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan harta benda akibat banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!