Suami isteri maut, bayi 6 bulan cedera kereta bertembung lori

Suami isteri maut, manakala bayi mereka cedera dalam nahas di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi. Foto IPD Kota Tinggi
Suami isteri maut, manakala bayi mereka cedera dalam nahas di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi. Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut manakala bayi mereka cedera selepas Perodua Myvi dinaiki terlibat dalam nahas tiga kenderaan di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isteri, Nur Fatihah Othman, 28, maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Anak mereka, Nur Laylaa Batrysha, berusia enam bulan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian membabitkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Vios dan lori.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori sawit tanpa muatan.

"Serpihan kemalangan turut terkena sebuah Toyota Vios yang melalui kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Menurut Yusof, pemandu lori berusia 47 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Vios berusia 46 tahun tidak cedera.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri maut dan bayi cedera dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi
  • Mangsa meninggal di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala
  • Anak berusia enam bulan mengalami kecederaan kepala dan dirawat di Hospital Kota Tinggi
  • Nahas melibatkan Perodua Myvi, Toyota Vios, dan lori sawit
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!