MTL: Lambakan sampah negara jiran di pantai Terengganu

Antara botol plastik yang ditemui terdampar di pesisir pantai Terengganu selepas dihanyutkan arus di laut pada musim tengkujuh.
Antara botol plastik yang ditemui terdampar di pesisir pantai Terengganu selepas dihanyutkan arus di laut pada musim tengkujuh.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Fenomena lambakan sampah yang dibawa arus Monsun Timur Laut (MTL) kembali menghantui penduduk apabila longgokan bahan buangan dipercayai dari negara jiran itu mula terdampar dan dijumpai di sepanjang pantai negeri ini.

Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, kemunculan sampah itu dikesan bermula minggu lalu dan jumlahnya dijangka meningkat sehingga Mac tahun depan selari dengan kitaran monsun setiap tahun.

Katanya, sampah berkenaan bukan sahaja terdampar di sekitar Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, malah turut dikesan terdampar di sepanjang jajaran pesisir pantai dari Kemaman hingga ke Besut.

Menurut beliau, fenomena itu berlaku apabila arus laut membawa sisa dari negara luar dan kawasan pedalaman yang hanyut ke sungai sebelum mengalir ke laut serta kembali mendarat di pantai ketika ombak besar.

"Kitaran dia memang begitu. Setiap tahun jumlah kutipan sampah sarap di kawasan pantai juga akan meningkat.

"Ada masa kita kutip, tetapi sampah baharu akan datang lagi. Sekarang baru permulaan untuk musim tengkujuh," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Antara botol plastik yang ditemui terdampar di pesisir pantai Terengganu selepas dihanyutkan arus di laut pada musim tengkujuh.
Antara botol plastik yang ditemui terdampar di pesisir pantai Terengganu selepas dihanyutkan arus di laut pada musim tengkujuh.

Zulkefli berkata, kehadiran sampah sarap terutama botol-botol plastik itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah memberi ancaman besar kepada ekosistem pantai termasuk penyu dan hidupan marin.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, antara kesan paling ketara ialah gangguan kepada populasi obor-obor yang menjadi makanan utama penyu belimbing, spesies yang kini diisytihatkan pupus di Malaysia.

"Kalau penyu belimbing tak ada, obor-obor akan semakin banyak. Obor-obor pula makan plankton, telur ikan dan anak ikan. Ini memberi kesan kepada rantaian makanan laut," katanya.

Tambahnya, masalah itu turut menggambarkan sikap pembuangan sampah merata-rata yang berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran.

"Tempat kita sendiri pun banyak sampah. Kita tak mahu sampah dari luar, tapi dalam masa sama sampah-sampah kita juga menyumbang kepada pencemaran laut.

"Kita juga tak mahu sampah-sampah kita ke 'mendarat' di negara jiran, misalnya yang terdekat di Indonesia. Jadi, semua kena jaga kebersihan bersama-sama," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengajak orang ramai mengurangkan penggunaan plastik dan menyertai aktiviti pembersihan pantai sebagai langkah memastikan kawasan tumpuan tidak terus dibebani sampah sarap yang mencemarkan pemandangan.

"Kalau ada program pembersihan di kawasan masing-masing, turunlah bantu. Paling penting, jangan buang sampah merata," ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Fenomena sampah dari negara jiran terdampar di pantai Terengganu akibat arus Monsun Timur Laut
  • Sampah itu dikesan bermula minggu lalu dan dijangka meningkat sehingga Mac tahun depan
  • Sampah terdampar di pantai dari Kemaman hingga ke Besut
  • Sampah mencacatkan pemandangan pantai dan mengancam ekosistem termasuk penyu dan hidupan marin
  • Zulkefli Sarji mengajak masyarakat mengurangkan penggunaan plastik dan menyertai aktiviti pembersihan pantai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!