EcoCeres mahu tukar minyak masak terpakai jadi bahan api pesawat

Naib Presiden Eksekutif Operasi EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd, Dannis Poon ketika menyampaikan ceramah bertajuk Perkembangan Terbaharu Penyahkarbonan Industri Penerbangan: Peluang dan Cabarannya pada Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Naib Presiden Eksekutif Operasi EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd, Dannis Poon ketika menyampaikan ceramah bertajuk Perkembangan Terbaharu Penyahkarbonan Industri Penerbangan: Peluang dan Cabarannya pada Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Minyak masak terpakai, khususnya yang berasaskan minyak sawit, kini berpotensi menjadi sumber tenaga baharu apabila ia mampu diproses semula sebagai bahan api penerbangan mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF).

Langkah itu sudah dirintis syarikat tenaga bersih dari China, EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd., yang mengusahakan sebuah loji beroperasi di Johor dengan kapasiti penghasilan kira-kira 1,000 tan produk sehari iaitu setanding dengan loji milik mereka di China.

Naib Presiden Eksekutif Operasinya, Dannis Poon berkata, pihaknya turut merancang melaksanakan kempen kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan dan manfaat SAF.

“Mungkin pada Januari 2026, kempen ini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai usaha pengumpulan minyak masak terpakai untuk dikitar semula sebagai tenaga baharu.

“Bagi orang lain, minyak ini hanyalah buangan. Namun bagi kami, ia sangat berharga kerana boleh ditukar kepada bahan api termasuk SAF,” katanya.

Menurut Dannis, pihaknya tidak menggunakan minyak fosil atau minyak yang digali dari tanah, sebaliknya memproses minyak masak terpakai dari rumah, restoran, sisa industri dan buangan minyak makanan sebagai bahan mentah utama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Perkembangan Terbaharu Penyahkarbonan Industri Penerbangan: Peluang dan Cabarannya pada Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB (PIPOC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

EcoCeres juga menegaskan mereka mengelak daripada menggunakan minyak boleh dimakan bagi menghindari persaingan dengan sektor makanan serta mengurangkan jejak karbon.

“Melalui teknologi rawatan hydrotreating, minyak buangan akan dipecahkan kepada beberapa produk termasuk SAF untuk pesawat, diesel boleh diperbaharui untuk sektor industri dan pengangkutan, serta nafta untuk kegunaan petrokimia.

Artikel Berkaitan:

“SAF yang kami hasilkan kini dibekalkan kepada syarikat penerbangan antarabangsa seperti Cathay Pacific, Hong Kong Airlines dan British Airways melalui kontrak jangka panjang,” katanya.

Mengulas pemilihan Johor sebagai lokasi operasi, Dannis berkata, Malaysia menawarkan dasar yang mesra pelaburan selain mempunyai infrastruktur minyak dan gas yang lengkap serta akses mudah kepada sisa minyak tempatan.

Lebih 99 peratus pekerja di loji Johor juga merupakan rakyat Malaysia, selaras hasrat syarikat membangunkan sosioekonomi setempat.

“Bahan mentahnya dikumpulkan dari Malaysia, diproses di Malaysia dan suatu hari nanti mungkin digunakan oleh syarikat penerbangan Malaysia seperti MAS dan AirAsia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran besar termasuk jumlah minyak masak terpakai di Malaysia yang hanya sekitar 200,000 tan setahun dan tidak mencukupi untuk menyokong loji berskala besar.

“Cabaran lain termasuk kualiti minyak sisa yang tidak seragam, ada yang terlalu kotor atau bercampur air, selain isu dasar perdagangan antarabangsa yang mengenakan tarif tertentu.

“Kita juga memerlukan kerjasama serantau kerana jika setiap negara membina loji sendiri, bekalan bahan mentah tidak akan mencukupi. Penyelesaian perlu dicari pada peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!