9.4 juta penumpang buka tirai Tahun Melawat Malaysia 2026

SEBANYAK 9.4 juta pergerakan penumpang direkodkan di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports pada bulan pertama penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan tersebut mencerminkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat di peringkat global.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) tertinggi dalam rangkaian tersebut.
“KLIA merekodkan 5.9 juta pergerakan penumpang dengan peningkatan 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, diikuti PEN dengan 741,183 penumpang atau peningkatan 3.8 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, Malaysia Airports menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai negara paling berhubung di rantau Asia Pasifik melalui usaha berterusan menaik taraf infrastruktur, memperkukuh jaringan penerbangan serta memastikan standard perkhidmatan yang konsisten di semua lapangan terbang.
“Penambahbaikan tersebut merupakan pendekatan proaktif bagi memastikan kapasiti, kebolehpercayaan dan kualiti perkhidmatan seiring dengan peningkatan trafik penumpang.
“Dalam perkembangan sama, penambahbaikan perkhidmatan turut diteruskan pada Januari menerusi pelancaran RIMBA @ KLIA di Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA yang menawarkan ruang rehat berkonsepkan alam semula jadi demi keselesaan penumpang,” katanya.
Mohd Izani berkata, Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMs) di Terminal 1 KLIA turut mencapai kadar pematuhan sebanyak 99 peratus, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang.
“Dari aspek hubungan udara, sekurang-kurangnya enam laluan baharu diperkenalkan pada Januari yang menghubungkan Malaysia secara langsung dengan Shanghai, Jinan, Hong Kong, Hefei, Guangzhou dan Harbin.
“Laluan berkenaan menghubungkan destinasi utama termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau dan Pulau Pinang. Ia juga menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi serantau,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, aset kumpulan di Turkiye, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGIA), merekodkan 4.2 juta penumpang pada Januari 2026.
“Angka tersebut meningkat 14.3 peratus tahun ke tahun, melibatkan 2.4 juta penumpang antarabangsa dan 1.8 juta penumpang domestik,” katanya.
Ringkasan AI
- 9.4 juta pergerakan penumpang direkodkan di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports pada bulan pertama VM2026
- KLIA dan PEN mencatatkan pertumbuhan tertinggi tahun ke tahun
- Malaysia Airports menyasarkan Malaysia sebagai negara paling berhubung di Asia Pasifik
- Peningkatan perkhidmatan dengan pelancaran RIMBA @ KLIA dan peningkatan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan
- Enam laluan baharu diperkenalkan yang menyokong sektor pelancongan dan ekonomi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
