Inkues Zara Qairina: Tiada kebenaran pelajar buat siasatan sendiri kes curi di asrama - Saksi

KOTA KINABALU - Guru syariah di sekolah agama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersekolah memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau yang menapis calon dan melantik calon ketua dorm asrama.
Rezany Mohd Taupek yang merupakan saksi ke-51 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata demikian ketika memberi keterangannya di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dalam kenyataan pasukan peguam memaklumkan, saksi tinggal di rumah warden dan beliau mengenali Zara Qairina sebagai pelajar Tingkatan Satu.
"Saksi berkata dia yang menapis calon ketua dorm dan melantik ketua dorm. Kriteria yang beliau tetapkan adalah berkenaan kewibawaan pelajar tersebut untuk menjadi seorang ketua dorm.
"Seseorang pelajar tidak boleh ada rekod kesalahan disiplin sebelum mereka dilantik sebagai ketua dorm. Saksi turut berkata seorang ketua dorm perlu melaporkan kepada warden tentang aduan kes kecurian.
"Pelajar tiada kebenaran untuk membuat tindakan siasatan tersendiri.
"Saksi berkata, dia pernah mendapat aduan kes kecurian. Sekiranya aduan berasas saksi akan panjangkan kepada unit disiplin sekolah. Biasanya saksi akan menemubual untuk menyiasat kes kecurian," kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, pasukan peguam turut memaklumkan bahawa saksi berkata dia pernah mendengar istilah MA iaitu Mesyuarat Asrama pada tahun lalu.
"Selepas itu saksi tahu mengenai arahan pihak sekolah untuk melarang MA dilaksanakan.
"Pada pemahaman saksi, MA merujuk kepada mesyuarat aras atau asrama atau perjumpaan antara pelajar senior dan junior atau sesama pelajar.
"MA membincangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan peraturan seperti kebersihan, kekemasan dan sebagainya. Saksi berkata menurut pandangan beliau, kalau tujuan MA baik maka ia adalah perkara yang baik.
"Saksi menyamakan ia seperti perjumpaan usrah. Saksi tidak pasti sama ada MA pernah dilakukan adalah untuk perkara yang tidak baik, yang telah menyebabkan larangan MA oleh pihak sekolah. Saksi tidak ada menyiasat sama ada calon ketua dorm ada terlibat dalam MA atau tidak," katanya.
Selain itu, peguam turut menyatakan bahawa saksi berkata pelajar Tingkatan Satu ditempatkan di aras tiga.
"Ini kerana semua aset yang di aras itu mencukupi untuk keseluruhan pelajar Tingkatan Satu.
"Ketua dorm perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak asrama dan pihak sekolah, dan bukan membuat peraturan tersendiri," katanya.
Pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
