PTSFP UniMAP pemangkin ilmu, inovasi dan inklusiviti era digital

PTSFP menyediakan ruang pembelajaran fleksibel dan kolaboratif yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah.
PTSFP menyediakan ruang pembelajaran fleksibel dan kolaboratif yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah.
A
A
A

ARAU – Bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah sebagai nadi ilmu dan pusat kecemerlangan digital yang menyokong ekosistem pembelajaran serta penyelidikan secara holistik.

Menurut Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir, PTSFP bukan sekadar sebuah perpustakaan konvensional, malah telah berevolusi menjadi hab pengetahuan yang mendukung aspirasi Malaysia MADANI dengan menjangkau manfaatnya kepada komuniti luar kampus.

Mazmin Mat Akhir
Mazmin Mat Akhir

“Dalam era digital ini, PTSFP menyediakan akses kepada pelbagai sumber elektronik seperti e-buku, jurnal dalam talian, pangkalan data akademik dan aplikasi AI yang menyokong pembelajaran kendiri serta penyelidikan berimpak tinggi.

"Kami juga menyediakan ruang pembelajaran fleksibel dan kolaboratif yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, PTSFP turut melaksanakan pelbagai teknologi pintar bagi meningkatkan pengalaman pengguna antaranya enjin penemuan, Worldcat Discovery, sistem perpustakaan bersepadu Localcat, repositori digital, kiosk layan diri, teknologi RFID untuk perkhidmatan automatik, galeri maya serta ruang Makerspace yang menyokong kreativiti dan inovasi pelajar.

PTSFP menyediakan ruang pembelajaran fleksibel dan kolaboratif yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah.
PTSFP menyediakan ruang pembelajaran fleksibel dan kolaboratif yang sesuai untuk pelajar dan pensyarah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PTSFP juga komited menyediakan ruang pembelajaran kolaboratif selari ekosistem dan persekitaran pekerjaan.

“Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan akses kepada maklumat, malah menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan efisien,” ujar beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Sesi 2024-2026.

Dalam usaha memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan komuniti, PTSFP turut melaksanakan pelbagai program libat urus masyarakat seperti ‘Library Outreach’ dan lmu Untuk Semua yang bertujuan memupuk budaya membaca dan literasi digital dalam kalangan masyarakat setempat.

“Perpustakaan kini bukan hanya untuk warga kampus. Kami mahu menjadi pusat komuniti yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat berilmu dan berdaya saing,” katanya lagi.

Mazmin bersama pelajar UniMAP yang menggunakan kemudahan di PTSFP.
Mazmin bersama pelajar UniMAP yang menggunakan kemudahan di PTSFP.

Salah satu inisiatif berimpak tinggi yang mendapat perhatian ialah penubuhan Pusat Autism Higher Education and Research Training (A-HEART) di dalam PTSFP yang menyediakan ruang mesra autisme, bahan pembelajaran khas serta sokongan psikososial kepada pelajar berkeperluan khas.

“Penubuhan A-HEART mencerminkan komitmen UniMAP terhadap pendidikan inklusif. Ia juga menjadi platform penyelidikan dan latihan kepada pensyarah serta pelajar dalam bidang pendidikan khas dan psikologi,” ujar Mazmin.

Dari sudut pengurusan, PTSFP turut memastikan suasana fizikal yang mesra anak autisme dengan menyediakan pencahayaan yang sesuai, ruang tenang, bilik terapi serta bahan bacaan mesra autisme dan staf perpustakaan juga dilatih untuk memahami keperluan khas pengguna dan memberikan bantuan yang bersesuaian.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mazmin berkata PTSFP berhasrat untuk terus memperkukuh fungsinya sebagai perpustakaan moden yang menggabungkan kecemerlangan akademik, teknologi pintar dan kesejahteraan komuniti.

“Antara perancangan kami termasuk pembangunan perpustakaan digital sepenuhnya, perluasan program literasi maklumat dalam era AI, serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa. Kami mahu membina model perpustakaan inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!