Pertanian Pahang berdaya saing, mampu mendepani cabaran

KUANTAN - Kejayaan Pahang mencatatkan nilai jualan pertanian RM25.12 bilion pada 2023 sekali gus mengekalkan kedudukan Pahang sebagai antara pemain utama sektor pertanian negara membuktikan ekonomi hijau berasaskan pertanian masih menjadi antara teras kekuatan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan subsektor tanaman seperti kelapa sawit, durian, sayur-sayuran serta pertumbuhan dalam subsektor ternakan dan akuakultur membuktikan bahawa sektor pertanian Pahang bukan sahaja berdaya saing, bahkan mampu mendepani cabaran semasa dan masa depan.
Menurutnya, pencapaian itu juga selari dengan matlamat Aspirasi Pahang 1st dan gagasan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang (PET30) yang menekankan pembangunan mapan, berdaya saing dan inklusif.
"Justeru itu saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja sektor pertanian di Negeri Pahang terdiri para petani, penternak, nelayan, usahawan tani serta jabatan dan agensi yang terlibat.
"Saya juga mengucapkan syabas kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pahang atas pelaksanaan Banci Pertanian 2024.
"Penghasilan laporan interim ini akan menjadi panduan penting dalam merangka dasar dan intervensi yang lebih tepat bagi memperkukuhkan sektor ini di Pahang," katanya melalui kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada usaha memperkukuh rantaian keterjaminan makanan, pemodenan pertanian, pemerkasaan teknologi dan pembelaan nasib pemain industri di setiap peringkat.
"Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan pencapaian ini. Teruskan kecemerlangan, demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini," ujarnya.
Pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang pada Selasa, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa
Pahang muncul sebagai penyumbang kedua terbesar nilai jualan pertanian di negara ini dengan jumlah keseluruhan mencecah RM25.12 bilion pada 2023.
Daripada jumlah tersebut, subsektor tanaman menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan RM22.11 bilion atau 88 peratus.
Menurutnya, subsektor ternakan menyumbang RM1.21 bilion (4.8 peratus), subsektor perikanan RM0.91 bilion (3.6 peratus), subsektor perhutanan dan pembalakan RM0.56 bilion (2.2 peratus) dan subsektor akuakultur, RM0.33 bilion (1.3 peratus).
Cameron Highlands kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia dengan nilai jualan RM3.60 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

