ERA batal kerjasama dengan Syed Saddiq, bayaran kontrak tetap dilunaskan

Kenyataan yang dibuat ERA FM.
Kenyataan yang dibuat ERA FM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengesahkan bahawa kolaborasi bersama stesen radio ERA sebagai penyampai segmen pagi tidak dapat diteruskan, meskipun kontrak telah ditandatangani dan pelbagai persiapan dilakukan.

Menerusi perkongsian video di semua platform media sosialnya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau sebelum ini telah bersetuju untuk menyertai pasukan 3 Pagi ERA bersama Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak ERA bahawa 100 peratus gaji saya akan disumbangkan sebagai biasiswa kepada 20 mahasiswa dari Muar yang datang dari keluarga susah.

“Rundingan telah dibuat, perjanjian ditandatangani, sesi rakaman serta fotografi pun selesai. Malah, mama dan abuyah sudah merancang untuk hadir ke pengumuman rasmi.

"Namun, semalam saya dimaklumkan kerjasama ini tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Walaupun tidak memperincikan sebab sebenar pembatalan itu, Saddiq menyatakan beliau menghargai kejujuran pihak ERA dan memahami keadaan yang mungkin menuntut keputusan sedemikian.

“Saya tidak mahu menyukarkan mereka. Malah, ERA dan pihak Astro tetap berbesar hati melunaskan bayaran kontrak yang sudah ditandatangani dan saya akan salurkan 100 peratus jumlah tersebut ke tabung biasiswa Muar seperti yang dijanjikan,” ujarnya.

Tidak sedih dengan perkara itu, figura berusia 32 tahun itu terus berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Saddiq percaya dengan perancangan ALLAH.
Saddiq percaya dengan perancangan ALLAH.

“Pada hari yang sama saya dimaklumkan kerjasama bersama ERA perlu ditangguh, saya juga menerima beberapa tawaran berbeza berjumlah RM1.06 juta.

“Sebab itu saya selalu pesan, percaya pada perancangan ALLAH. Setiap cabaran membentuk kita menjadi lebih kuat,” katanya dalam nada optimis.

Sementara itu, pihak ERA dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa kerjasama bersama Syed Saddiq tidak dapat diteruskan buat masa ini.

“Kerjasama yang dimeterai sebelum ini dibina atas semangat muafakat dan persefahaman bersama.

"Namun, perkembangan terbaharu yang tidak dapat dielakkan mendorong kepada perubahan terhadap dinamik kerjasama ini,” ujar wakil stesen tersebut.

ERA turut menyatakan komitmen untuk terus melaksanakan apa yang telah dipersetujui berdasarkan persetujuan bersama, selain menghargai sokongan pendengar sepanjang 27 tahun penubuhannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!