X

Kindly register in order to view this article
!

Sokongan kewangan wabak Covid-19

A
A

DOKTOR, jururawat – dan pesakit – layak mendapatkan sesuatu yang lebih baik.

Sistem kesihatan yang ada pada hari ini adalah akibat pengabaian sekian lama kerana kurangnya pelaburan serta ketirisan.

Pertama, kerajaan mesti membina hospital sementara untuk meningkatkan jumlah katil, klinik untuk meningkatkan ujian harian, dan pusat kesihatan kecemasan.

Peningkatan pengeluaran peralatan dan ubat penting, selain menubuhkan perkhidmatan sokongan untuk mereka yang kehabisan makanan, tiada tempat tinggal dan yang paling berisiko.

Kita mungkin tidak suka idea merawat pekerja asing dan pelarian seperti rakyat Malaysia tetapi pandemik tidak mengenal kad pengenalan.Tidak merawat mereka bermakna risiko kepada rakyat Malaysia juga meningkat.

Sama seperti menghadapi perang, ia bermaksud mengerahkan tentera untuk membersihkan hab pengangkutan, sekolah, rumah ibadah dan tempat awam kritikal yang lain.

Kedua, kita perlu memudahkan orang untuk duduk di rumah seperti melaksanakan penangguhan hutang jangka pendek (termasuk pinjaman perusahaan kecil dan sederhana dan pinjaman gadai janji) dan menangguhkan bil utiliti untuk B40, seperti yang dilakukan oleh sesetengah negara Eropah.

Kerajaan juga perlu menyediakan sokongan pendapatan dengan meluaskan sistem insurans pekerjaan dan keselamatan bekalan makanan.

Dalam masa krisis seperti ini, tiada siapa yang patut menjadi gelandangan kerana ketidakupayaan mereka untuk memenuhi keperluan sewa bulanan.

Malah, mereka yang kehilangan tempat tinggal akan memperbesarkan penyebaran pandemik dan mengeruhkan keadaan untuk kelompok yang paling berisiko.

Penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) perlu mendapatkan moratorium atau jumlah pengampunan hutang untuk sewa yang berlebihan akibat krisis Covid-19 ini.

Keutamaan lain adalah menyediakan sokongan wang tunai kecemasan kepada isi rumah.

Ini boleh menjadi dalam bentuk memperluaskan Bantuan Sara Hidup, sokongan upah bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi kita, memperluaskan Skim Insurans Pekerjaan, bahkan melihat satu bentuk universal basic income.

Langkah yang paling radikal ialah helicopter money iaitu melalui pembiayaan suntikan fiskal atau pemindahan melalui pengembangan kewangan.

Ini adalah pengembangan langsung tunai yang lebih sesuai untuk era kadar faedah dan inflasi rendah seperti hari ini. Memanglah diakui akan wujud sedikit kesan kepada penyata imbangan Bank Negara.

Hong Kong sudah berbuat demikian. Selepas kesenjangan ekonomi menjadi semakin serius terutamanya perumahan yang mahal telah mencetuskan rusuhan besar-besaran, berlakunya wabak Covid-19 di China telah menyebabkan gangguan besar terhadap ekonomi wilayah Hong Kong.

Sebulan yang lalu, kerajaan Hong Kong telah mengumumkan wang tunai sebanyak HK$10,000 (kira-kira RM5,700) untuk setiap penduduk dewasa.

Ada peringatan daripada beberapa pengurusan bank dan kakitangan awam mengenai kesan langkah itu terhadap kepada defisit kita.

Namun negara-negara yang mengalami krisis yang belum pernah terjadi seperti perang sentiasa terpaksa mengambil hutang besar untuk mengatasi keadaan ekonomi yang sukar.

*Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dan sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan