PN mampu urus negara dengan lebih baik - Hamzah

Hamzah berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada malam Sabtu.
Hamzah berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada malam Sabtu.
A
A
A

YAN - Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu menguruskan negara dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN bersedia membuktikan pengurusan parti komponen itu lebih baik sekiranya diberikan peluang memerintah negara.

Hamzah mendakwa Anwar hanya pandai bercakap namun tidak pandai menguruskan negara, selain suka berjanji macam-macam.

"Selepas angkat sumpah (sebagai Perdana Menteri ke-10) janji macam-macam. Ini lepas angkat sumpah. Hat (Janji) sebelum angkat sumpah. Ingat tidak ingat ini semua (janji) ini. Kena ingat rakyat Malaysia semua kena ingat (janji).

"Ini manusia yang berjanji macam-macam tetapi dia lupa. Ini jenis manusia, janji macam-macam tapi dia niat bohong," katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta kepimpinan tertinggi PN Kedah.

Beliau berkata, percaya Anwar mempunyai penyakit suka berjanji bermacam-macam perkara termasuklah penurunan harga minyak, menentang kronisme dan nepotisme serta menurunkan kos sara hidup.

"(Anwar kata) saya belum jadi Perdana Menteri macam mana hendak (pastikan) harga minyak nak turun. Cuba bagi pada saya (Anwar) jadi Perdana Menteri. (Anwar kata) Hari ini saya angkat sumpah, esok harga minyak turun," katanya.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, harga minyak masih tidak turun sehingga kini meskipun Anwar telah mentadbir negara selama enam bulan.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat Malaysia perlu menolak pemimpin yang suka berjanji namun berbohong dan tidak menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini.

Hamzah berkata, Anwar turut berjanji untuk menghapuskan rasuah sekiranya diberikan mandat sebagai Perdana Menteri namun lihatlah individu di sebelah kanannya.

"Yang ini janji sebelum pilihan raya. Dia (Anwar) kata (sekiranya) saya jadi Perdana Menteri, saya hapuskan kronisme (dan) tidak ada lagi nepotisme.

"Angkat sumpah jadi Perdana Menteri esok umum anak jadi penasihat Menteri Kewangan. Ini cerita betul. Bukan cerita 'untold story'," katanya.

Menurut Hamzah, kerajaan ketika ini turut berjanji untuk menghapuskan kemiskinan dalam negara namun ia dikhuatiri masih juga tidak dicapai.

Tambah Hamzah, ramai golongan berpendapatan sederhana (M40) juga sudah jatuh menjadi golongan berpendapatan rendah (B40).

Beliau turut mempertikaikan langkah pentadbiran Anwar mengenai cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dijadikan cagaran bank serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 3.00 peratus.

"Semua rakan-rakan jangan dengar lagi. Saya kenal sangat orang ini. Saya tahu sangat orang ni. Dia pandai bercakap tapi tak pandai nak menguruskan negara. Percayalah. Dia tidak akan boleh memajukan negara kita ini.

"Yang lebih pentingnya kepada kita adalah untuk kita pastikan supaya selepas ini, kita akan cari pemimpin-pemimpin kita (dan) supaya kita aturkan kabinet kita lebih baik supaya apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang benar-benar bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa kita,"katanya.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, PN akan memastikan parti komponen itu dapat mengambil alih semua enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.