Belanjawan 2027: Majoriti PMKS Bumiputera tiada sijil halal

Majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya usahawan Bumiputera dan Muslim, masih belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Gambar kecil: Zakira
Majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya usahawan Bumiputera dan Muslim, masih belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Gambar kecil: Zakira
A
A
A

MALAYSIA sering mendepani carta global dalam ekosistem halal, namun realiti di peringkat akar umbi mendedahkan jurang yang membimbangkan.

Majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya usahawan Bumiputera dan Muslim, masih belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan 72 peratus daripada keseluruhan 229,204 produk yang bersijil halal di Malaysia dimiliki oleh syarikat bukan Islam bagi tempoh 2021 hingga April 2023.

Malah, daripada kira-kira 200,000 Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang terlibat dalam industri halal tempatan, hanya sekitar 8,000 syarikat sahaja yang mempunyai SPHM.

Statistik ini bukan sekadar angka, malah ia adalah loceng amaran bahawa usahawan kita sedang ketinggalan dalam pasaran halal yang sepatutnya mereka terajui.

Persoalan besar yang perlu kita selami adalah mengapa jurang pendaftaran SPHM ini masih lagi jauh? Hakikatnya, usahawan Bumiputera kita bukan sahaja bergelut dengan isu mindset iaitu rasa selesa dengan apa yang ada, malah mereka turut dihimpit oleh kerenah birokrasi.

Kekangan prosedur dan proses pendaftaran yang mengambil masa lama sering kali mematikan semangat usahawan Bumiputera untuk melangkah lebih jauh.

Di negeri Pantai Timur seperti Terengganu, wujud mentaliti “zon selesa”. Disebabkan persekitaran pasaran dikelilingi oleh majoriti usahawan dan pengguna Muslim, ramai pengusaha menganggap status Islam mereka sudah memadai untuk membuktikan produk mereka halal.

Akibatnya, mereka kurang melihat keperluan untuk memohon SPHM secara rasmi. Pada tahun 2024, statistik di Terengganu menunjukkan bilangan pemegang SPHM ialah hanya 296 sedangkan terdapat 37,598 pertubuhan PMKS telah direkodkan di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Namun, berdasarkan data terkini setakat Ogos 2026, bilangan pemegang SPHM di Terengganu hanya meningkat kepada 318, iaitu pertambahan sebanyak 22 pemegang SPHM sahaja dalam tempoh hampir 2 tahun ini.

Data negeri lain turut menyokong situasi ini; sebagai contoh, Perak merekodkan hanya 28% permohonan SPHM daripada kalangan Bumiputera pada tahun 2022.

Sementara itu di Kedah, jurang tersebut jelas kelihatan bagi tempoh 2010–2022 dengan hanya 219 permohonan SPHM oleh usahawan Bumiputera berbanding 408 permohonan oleh bukan Bumiputera.

Bahkan, menurut kenyataan Ketua Pengarah JAKIM pada Julai 2025, syarikat bukan Bumiputera kekal mendahului dalam permohonan pensijilan halal dengan merekodkan 13,206 atau bersamaan 67 peratus daripada 19,686 permohonan bagi tahun 2024.

Hal ini menunjukkan bahawa usahawanbukan Bumiputera lebih pantas melihat sijil halal sebagai peluang dan senjata pemasaran yang berkesan untuk meluaskan pasaran produk.

Realiti ini menuntut usahawan Bumiputera untuk segera melakukan anjakan paradigma dan keluar daripada takuk “zon selesa” yang sama.

Selain itu, usahawan turut berdepan dengan prosedur permohonan SPHM yang dianggap kompleks dan memerlukan tahap pematuhan yang tinggi.

Bagi mereka yang benar-benar berhasrat untuk memohon, proses permohonan sering kali menjadi cabaran apabila melibatkan pelbagai keperluan teknikal, dokumentasi dan audit yang perlu dipenuhi.

Beban penyediaan dokumentasi, keperluan melatih pekerja, serta pematuhan kepada piawaian seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) menjadi halangan besar, khususnya kepada perusahaan mikro dan perniagaan berasaskan rumah (home-based).

Tambahan pula, kegagalan melepasi audit pada penilaian pertama akibat kelemahan dokumentasi, di samping kekangan modal untuk menaik taraf premis atau fasiliti pengeluaran, menyebabkan ramai usahawan memilih untuk menangguhkan, malah ada yang terus membatalkan hasrat untuk memohon SPHM.

Bagi sesetengah usahawan, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mungkin sekadar satu dokumen pematuhan. Namun hakikatnya, SPHM ialah “tiket” yang membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi.

Tanpa sijil ini, peluang untuk mengembangkan perniagaan menjadi semakin terhad.Walaupun permohonan SPHM adalah bersifat sukarela di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, ketiadaan logo halal rasmi JAKIM boleh mengehadkan kebolehpasaran sesuatu produk.

Kebanyakan rangkaian pasar raya, hotel, syarikat penerbangan, institusi awam dan agensi kerajaan lebih cenderung memilih produk yang memiliki pensijilan halal kerana ia memberi jaminan terhadap aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti produk.

Akibatnya, usahawan yang tidak memiliki SPHM berdepan kesukaran untuk menembusi rantaian bekalan global, sekali gus menyempitkan peluang untuk memperluaskan pasaran.

Kebimbangan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan Belanjawan Madani 2027 baru-baru ini, yang membangkitkan isu kebanyakan usahawan tempatan mempunyai produk yang berkualiti, namun masih berdepan kekangan untuk mendapatkan pensijilan halal dan menembusi pasaran yang lebih luas.

Data Halal Development Corporation (HDC) turut mendedahkan satu realiti yang cukup membimbangkan; daripada 8,000 syarikat tempatan yang memiliki sijil halal, hanya sekitar 2,000 syarikat sahaja yang benar-benar berjaya menembusi pasaran eksport, sekali gus memperlihatkan betapa kecilnya kelompok pemain industri yang mampu bersaing di peringkat global.

Situasi ini memberi gambaran jelas bahawa walaupun Malaysia sering diangkat sebagai peneraju industri halal dunia, hakikat di peringkat akar umbi menunjukkan jurang yang besar antara potensi dan realiti.

Ribuan PMKS masih terkandas di pasaran domestik yang kecil, sedangkan pasaran halal global semakin berkembang dan bernilai tinggi.

Bagi merapatkan jurang pemilikan SPHM, pendekatan yang lebih menyeluruh dan berorientasikan tindakan perlu dilaksanakan.

Usaha meningkatkan kesedaran semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya intervensi yang bersifat praktikal, bersasar dan menyelesaikan isu di peringkat akar umbi perlu diperkukuh.

Di peringkat negeri, Terengganu telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Majlis Halal Terengganu serta pelaksanaan Pelan Pengukuhan Industri Halal Terengganu (PAHAT) 2030 sebagai kerangka strategik untuk memperkukuh ekosistem halal negeri.

Malah kini, Terengganu juga dalam proses menyiapkan Dasar Halal Terengganu. Inisiatif ini menjadi asas penting dalam memperkemas koordinasi dasar, pembangunan industri serta sokongan kepada usahawan halal.

Namun, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterjemahkan kepada bantuan yang benar-benar menyelesaikan cabaran pematuhan di peringkat PMKS.

Selari dengan usaha negeri, di peringkat persekutuanjuga, Halal Development Corporation (HDC) turut melaksanakan intervensi bersasar melalui program Jelajah Halal Malaysia dengan sasaran membantu sekurang-kurangnya 200 syarikat khususnya PMKS, memperoleh sijil halal pada tahun 2026 ini.

Melalui program ini, peserta bukan sahaja diberikan pendedahan mengenai keperluan pensijilan halal, malah turut diberi peluang untuk menyertai Program Intervensi Mempercepatkan Keupayaan Pematuhan Halal (PIMKPH).

Lebih signifikan, program ini turut membuka akses langsung kepada usahawan untuk mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada Pegawai Pembimbing Halal (PPH), sekaligus membantu usahawan memahami dan memenuhi keperluan pematuhan halal secara lebih sistematik, terancang dan berkesan.

Usaha ini turut disokong melalui Belanjawan Madani 2027 yang telah dibentangkan Jumaat lepas, apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan geran padanan sehingga RM5,000 kepada syarikat PMKS yang mahu mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama.

Selain itu, geran RM25,000 turut disediakan bagi memperkasa PMKS halal dalam bidang seperti kosmetik dan farmaseutikal.

Pendekatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan ini pada hakikatnya bersifat saling melengkapi. PAHAT 2030 menyediakan kerangka ekosistem halal jangka panjanguntuk ekosistem halal negeri, manakala inisiatif HDC bertindak sebagai pemangkin pelaksanaan di lapangan.

Pada masa yang sama, insentif kewangan yang diumumkan melalui Belanjawan Madani 2027 pula berpotensi meringankan beban kewangan usahawan dalam memenuhi keperluan pensijilan.

Gabungan dasar, intervensi pelaksanaan dan sokongan kewangan ini penting bagi memastikan pematuhan halal bukan sekadar di atas kertas, tetapi dapat direalisasikan oleh usahawan di peringkat akar umbi.

Selain itu, dalam perancangan jangka pendek,keutamaan perlu ditumpukan kepada program bimbingan langsung seperti klinik dokumentasi halal, khidmat bimbingan individu (handholding) dan sokongan teknikal bergerak.

Insentif bersasar seperti subsidi yuran pensijilan dan bantuan naik taraf premis turut wajar diperluaskan bagi meringankan beban kewangan awal usahawan.

Manakala misi jangka panjang pula menuntut pembaharuan yang lebih menyeluruh melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, JAKIM, HDC, institusi akademik dan pihak industri.

Pendigitalan proses pensijilan serta penerapan teknologi kebolehkesanan (traceability) berasaskan blockchain membolehkan setiap peringkat rantaian bekalan direkod secara digital dan telus, daripada sumber bahan mentah hingga ke produk akhir.

Sistem ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengesahan dan pematuhan halal, malah meningkatkan keyakinan pihak industri dan pengguna terhadap integriti produk halal secara menyeluruh.

Apabila semua elemen ini disepadukan, SPHM bukan lagi dilihat sebagai bebanan birokrasi, sebaliknya ia menjadi aset strategik yang membuka akses kepada pasaran yang lebih luas dan berdaya saing di peringkat global.

Pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia atas dasar standardnya yang tinggi dan teliti. Reputasi ini adalah amanah yang tidak boleh dikorbankan demi kemudahan semata-mata.

Cabaran utama kita pada hari ini bukanlah untuk melonggarkan kerangka penilaiannya, sebaliknya mempermudah laluan usahawan untuk melalui proses tersebut tanpa menjejaskan integriti auditnya.

Sudah tiba masanya usahawan PMKS khususnya Bumiputera untuk keluar dari “zon selesa” serta meninggalkan pemikiran konvensional yang memandang SPHM sebagai bebanan birokrasi, dan mula melihatnya sebagai aset strategik yang membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas.

Dengan bimbingan yang tepat daripada kerajaan dan anjakan minda yang jelas daripada pengusaha itu sendiri, PMKS Malaysia bukan sahaja mampu bertahan malah berpotensi tampil sebagai pemain utama dalam industri halal global.

* Zakira Imana Mahadi ialah Pegawai Penyelidik di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) yang telah berkhidmat lebih 10 tahun dalam bidang penyelidikan dasar. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko. Bidang tumpuan beliau kini merangkumi pembangunan ekosistem industri halal, pemerkasaan usahawan dan pembangunan sumber manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!