Walau Trump kalah di Kongres, Iran tetap diserang?

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

PEPERANGAN Amerika Syarikat ke atas Iran pada waktu ini terhenti sementara. Presiden Trump berjanji bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyerang Iran bagi memberi ruang untuk pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

Kenyataan itu mungkin melegakan kerana sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu, Iran boleh menarik nafas lega. Namun, di sebalik cuti berperang ini, ia juga membawa satu amaran kemungkinan tempoh lebih berbahaya akan bermula selepas pilihan raya itu.

Ketika artikel ini ditulis, kajian menunjukkan Parti Republikan berkemungkinan hilang peluang untuk mengekalkan Dewan Perwakilan dan Senat. Perang terhadap Iran, kenaikan harga minyak dan tekanan inflasi telah menjejaskan sokongan kepada Trump dan calon Republikan yang lain. Rata-rata rakyat AS berpendapat perang itu tidak berbaloi untuk diteruskan.

Ramai menjangkakan jika Republikan kalah pilihanraya pertengahan penggal ini, perang ke atas Iran mungkin terus berhenti. Kita tidak harus lupa bahawa Trump masih menjadi Presiden dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera AS sehingga Januari 2029.

Kongres yang sedia ada juga akan terus berkhidmat sehingga Kongres baharu mula bertugas pada 3 Januari 2027. Jika Republikan kalah sekalipun, Trump masih mempunyai masa untuk mengarahkan serangan sebelum Kongres baharu dapat bertindak.

Keadaan ini mewujudkan tempoh dua bulan yang lebih berbahaya. Tekanan pilihan raya terhadap Trump akan berkurangan selepas 3 November, tetapi kuasa politik di Washington tidak berubah.

Trump tidak memerlukan perintah eksekutif atau kelulusan awal Kongres untuk melancarkan operasi tentera. Dia juga boleh menggunakan kuasanya sebagai Panglima Tertinggi dan mendakwa serangan itu diperlukan untuk melindungi tentera atau kepentingan AS.

Jika ini berlaku, Kongres hanya dapat bertindak selepas operasi bermula. Hal ini kerana, di bawah peruntukan War Powers Resolution, Presiden perlu memaklumkan Kongres dalam tempoh 48 jam selepas tentera dihantar ke dalam konflik. Operasi yang tidak mendapat kelulusan Kongres sepatutnya dihentikan selepas 60 hari, dengan tambahan 30 hari untuk pengunduran tentera.

Jika Demokrat menguasai kedua-dua dewan, mereka mempunyai kuasa untuk menyiasat pentadbiran Trump dengan memanggil pegawai kerajaan untuk memberi keterangan dan mengenakan syarat terhadap pembiayaan tentera. Mereka juga boleh menuntut supaya operasi terhadap Iran dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Tetapi kuasa mereka terbatas. Trump boleh menggunakan peruntukan yang telah diluluskan dan menggunakan kuasa veto ke atas undang-undang yang cuba menyekatnya. Untuk mengatasi veto Presiden, Demokrat memerlukan sokongan dua pertiga daripada kedua-dua dewan. Ini sesuatu yang sukar dicapai.

Kemenangan Demokrat boleh menjadikan perang yang panjang lebih sukar untuk diteruskan. Namun, ia tidak semestinya dapat menghalang Trump daripada melancarkan serangan baharu sebaik sahaja tamat pilihanraya separuh penggal nanti.

Laporan terkini menyatakan bahawa US Central Command telah diminta bersiap sedia untuk operasi baharu terhadap Iran. Ini menunjukkan bahawa kemungkinan peperangan akan diteruskan bukan hanya satu andaian.

Serangan baharu juga akan membawa kesan besar kepada rantau ini. Iran masih mampu menyerang pangkalan dan sekutu AS serta mengganggu laluan perdagangan melalui Selat Hormuz. Konflik yang lebih besar akan terus meningkatkan harga minyak, kos pengangkutan dan premium insurans.

Negara-negara di sekitar Teluk Parsi juga boleh menjadi sasaran tindak balas Iran walaupun mereka tidak mahu terlibat secara langsung dalam perang itu. Justeru, negara-negara serantau tidak boleh menunggu keputusan pilihan raya untuk menyelesaikan konflik ini.

Pakistan dan Qatar perlu menggunakan tempoh sebelum 3 November untuk memperkukuh rundingan antara Washington dan Tehran. Matlamat utama mestilah merangkumi gencatan senjata yang segera dan berkekalan, perlindungan terhadap laluan perdagangan di Selat Hormuz serta penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear.

Malaysia juga perlu menggunakan saluran dua hala dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyokong usaha tersebut. Kepentingan Malaysia bukan hanya melibatkan keamanan serantau, tetapi juga kestabilan harga tenaga, keselamatan perdagangan dan usaha memastikan isu Palestin tidak terus diketepikan.

Kekalahan Republikan memberi petanda bahawa rakyat AS menolak perang tersebut. Namun, undi mereka tidak akan mampu menghentikan mesin perang serta-merta. Tanpa satu persetujuan sebelum pilihan raya, tempoh selepas 3 November boleh menjadi permulaan kepada serangan baharu. Keamanan akan terus menjadi satu ilusi.

* Norliza Saleh ialah Penyelidik dari Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan The International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!