Dr Sam dan formula keadilan fiskal: Membawa federalisme Malaysia ke tahap lebih matang

DALAM perbahasan belanjawan, angka lazimnya mendominasi perhatian. Saiz peruntukan, kadar defisit, pertumbuhan KDNK, subsidi dan jumlah hutang menjadi ukuran segera terhadap kekuatan sesebuah belanjawan.
Namun begitu, ukuran sebenar sebuah belanjawan negara tidak semestinya terletak pada berapa banyak wang yang dibelanjakan.
Persoalan yang lebih mendasar ialah untuk siapa sumber negara diagihkan, berdasarkan prinsip apa ia diagihkan dan sejauh mana pengagihan itu mampu mewujudkan keadilan antara rakyat serta wilayah.
Perspektif inilah yang menonjol dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, atau Dr Sam, apabila beliau membingkai hujahnya melalui dua konsep besar: keadilan dan keupayaan.
Beliau menyatakan: “Tanpa keadilan, pembangunan tidak akan dirasai secara saksama. Dan tanpa keupayaan, janji pembangunan pula sukar diterjemahkan kepada kenyataan.”
Pernyataan ini mengangkat perbahasan belanjawan daripada politik angka kepada persoalan yang lebih besar tentang falsafah pemerintahan.
Keadilan menentukan bagaimana sumber diagihkan, manakala keupayaan menentukan sama ada negara benar-benar mempunyai ruang kewangan dan kapasiti pentadbiran untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.
Dalam konteks ini, perhatian Dr Sam terhadap kedudukan fiskal negara juga signifikan.
Belanjawan 2027 menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.3 peratus KDNK.
Sasaran tersebut positif dari sudut konsolidasi fiskal, tetapi pengurangan defisit sahaja belum memadai untuk membuktikan bahawa ruang fiskal negara semakin kukuh.
Bayaran khidmat hutang, seperti yang dibangkitkan oleh beliau, meningkat daripada RM57.3 bilion kepada RM61 bilion, bersamaan 16.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan mengurus Kerajaan Persekutuan.
Lebih membimbangkan, pertambahan RM3.7 bilion bagi bayaran khidmat hutang melebihi pertambahan RM2 bilion bagi peruntukan pembangunan.
Sebab itu Dr Sam mengingatkan: “Setiap pertambahan komitmen membayar hutang adalah membawa kos peluang yang perlu kita pertimbangkan.”
Inilah persoalan fiscal space dan opportunity cost. Semakin besar bahagian pendapatan digunakan untuk memenuhi obligasi sedia ada, semakin kecil ruang untuk sekolah, hospital, pengangkutan, bekalan air dan infrastruktur baharu.
Begitupun, pada pandangan saya, bahagian paling penting dan paling berani dalam perbahasan Dr Sam ialah cadangan beliau memperkenalkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri. Cadangan ini wajar mendapat perhatian nasional.
Dr Sam tidak berhenti dengan mengatakan sesebuah negeri harus menerima lebih banyak peruntukan.
Beliau mencadangkan satu mekanisme institusi yang lebih telus dengan mengambil kira empat pemboleh ubah utama, iaitu keperluan fiskal setiap negeri, keupayaan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.
Sebagai seorang ahli akademik, saya menyokong cadangan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri ini untuk diteliti secara serius oleh Kerajaan Persekutuan.
Ia bukan cadangan untuk memberi keistimewaan kepada negeri tertentu, jauh sekali memberikan “ganjaran” kepada kerajaan negeri berdasarkan warna politik.
Sebaliknya, ia berpotensi menjadi satu reformasi institusi yang menjadikan hubungan fiskal Persekutuan-negeri lebih objektif, konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan.
Dalam bidang federalisme fiskal, prinsip ini dikenali sebagai fiscal equalisation. Asasnya mudah, iaitu kesamarataan nominal tidak semestinya menghasilkan kesaksamaan substantif.
Dua negeri boleh menerima jumlah yang sama, tetapi mempunyai keupayaan yang sangat berbeza untuk menghasilkan manfaat daripada jumlah tersebut.
Dr Sam menyebutnya dengan tepat: “Dua negeri mungkin menerima peruntukan yang sama, tetapi setiap satunya mempunyai keupayaan yang berbeza untuk membina infrastruktur, menarik pelaburan dan meningkatkan pendapatan rakyat.”
Beliau menghubungkan persoalan ini dengan pemikiran John Rawls mengenai justice as fairness dan Amartya Sen mengenai keadilan yang perlu dinilai berdasarkan keadaan serta hasil sebenar yang dinikmati manusia.
Sebuah negeri yang luas, penduduknya berselerak dan masih mengalami kekurangan infrastruktur tentu mempunyai kos penyampaian perkhidmatan yang berbeza daripada negeri yang lebih padat dan telah mempunyai jaringan infrastruktur matang.
Begitu juga negeri yang menanggung opportunity cost kerana memelihara sumber untuk kepentingan nasional tidak sepatutnya dinilai semata-mata berdasarkan jumlah hasil langsung yang mampu dikutipnya.
Menariknya, semangat yang dibawa Dr Sam ini bukan suara terpencil. Dalam konteks dan bentuk yang berbeza, prinsip mengenai hubungan fiskal yang lebih adil antara Persekutuan dengan negeri turut dibangkitkan oleh beberapa institusi diraja.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, misalnya, telah beberapa kali menggesa supaya sebahagian hasil cukai yang dijana Johor dikembalikan kepada negeri.
Pada April 2026, baginda mengulangi cadangan agar sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan supaya negeri dapat mengurus keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat dengan lebih cekap serta tidak terlalu bergantung kepada proses kelulusan Persekutuan.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, pula pada Mei 2026 menyeru Kerajaan Persekutuan supaya lebih cakna terhadap hak negeri, memberi ruang lebih besar kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek pembangunan dan memastikan Pahang menerima “layanan serta pertimbangan yang saksama”.
Lebih menarik lagi ialah titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Baginda pernah menegaskan bahawa antara matlamat sebuah negara Persekutuan ialah pembangunan ekonomi melalui prinsip “perkongsian sumber secara adil”, di samping menekankan bahawa suara negeri dalam pembangunan perlu didengari di peringkat Persekutuan.
Pada April 2026, Sultan Kedah sekali lagi membawa dimensi yang sangat relevan kepada perbahasan fiskal apabila bertitah bahawa pengorbanan Kedah mengekalkan kira-kira 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air bagi kepentingan negara wajar disusuli dengan insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.
Inilah sebenarnya hujah asas di sebalik penyamarataan fiskal. Negeri bukan sekadar unit pentadbiran yang menerima wang daripada pusat. Negeri ialah komponen Persekutuan yang mempunyai fungsi, kekuatan, beban pembangunan, sumber dan kos peluang yang berbeza.
Johor menekankan sumbangan hasil dan keupayaan negeri mengurus pembangunan sendiri.
Pahang menekankan layanan yang saksama, hak negeri dan ruang dalam menentukan pelaksanaan pembangunan. Kedah pula menekankan perkongsian sumber yang adil serta pampasan terhadap kos yang ditanggung negeri demi kepentingan nasional.
Dr Sam membawa keresahan yang berselerak ini satu langkah lebih jauh dengan menawarkan sebuah kerangka dasar: Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri. Inilah nilai besar cadangan beliau.
Daripada hubungan fiskal yang terlalu bergantung kepada rundingan satu demi satu, permohonan demi permohonan atau pertimbangan pentadbiran semasa, Malaysia boleh bergerak kepada satu sistem yang mempunyai formula jelas, pemboleh ubah objektif, mekanisme semakan berkala dan pelaporan terbuka.
Beliau sendiri menegaskan pengagihan harus dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan tidak semata-mata berdasarkan budi bicara pentadbiran Persekutuan, apatah lagi sentimen kepartian atau keakraban politik.
Saya berpandangan cadangan ini wajar dikaji oleh sebuah jawatankuasa atau suruhanjaya khusus yang melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, kerajaan-kerajaan negeri, pakar ekonomi awam, pakar Perlembagaan dan institusi akademik.
Formula tersebut tidak perlu meniru Australia, Kanada atau Jerman secara bulat-bulat. Malaysia mempunyai sejarah, struktur Perlembagaan dan karakter federalismenya sendiri.
Namun pengalaman negara-negara tersebut menunjukkan bahawa penyamarataan fiskal berasaskan formula bukan satu idea radikal. Dr Sam sendiri mengemukakan negara-negara tersebut sebagai contoh dalam perbahasannya.
Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, geran per kapita dan pemberian penyelenggaraan jalan negeri menunjukkan bahawa prinsip pemindahan fiskal antara Persekutuan dengan negeri sudah pun wujud.
Apa yang diperlukan ialah evolusi seterusnya, iaitu menjadikan sistem tersebut lebih responsif terhadap jurang pembangunan, kapasiti hasil, keluasan, demografi dan kos sebenar penyampaian perkhidmatan.
Lebih penting, reformasi sedemikian dapat mengubah hubungan Persekutuan-negeri daripada politics of discretion kepada governance by institutions.
Negara yang matang tidak boleh membiarkan hak pembangunan rakyat berubah-ubah mengikut siapa yang memerintah Putrajaya atau sesebuah negeri. Formula yang baik harus mampu bertahan merentasi pertukaran kerajaan.
Di sinilah saya melihat cadangan Dr Sam bukan sekadar suatu tuntutan politik dari Kemaman atau Terengganu. Ia ialah sebuah gagasan kenegaraan mengenai bagaimana Persekutuan Malaysia boleh berfungsi dengan lebih matang.
Apabila suara dari Johor, Pahang dan Kedah dalam konteks masing-masing turut menuntut hubungan Persekutuan-negeri yang lebih adil, sudah tiba masanya isu ini tidak lagi dilihat melalui lensa kerajaan lawan pembangkang.
Persoalannya lebih besar daripada itu, iaitu apakah bentuk federalisme yang mahu kita wariskan untuk Malaysia pada dekad-dekad akan datang.
Jika keadilan mahu dijadikan prinsip, ia perlu diterjemahkan kepada institusi. Jika pembangunan mahu bebas daripada pertimbangan politik, ia memerlukan formula.
Dan jika Malaysia mahu menjadi sebuah Persekutuan yang benar-benar matang, setiap negeri perlu diyakinkan bahawa hak pembangunan rakyatnya tidak bergantung pada hubungan politik dengan sesiapa yang sedang berada di Putrajaya.
Dalam kerangka inilah, Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang dikemukakan Dr Sam wajar dibahas, diperhalusi dan akhirnya dipertimbangkan sebagai salah satu reformasi besar federalisme fiskal Malaysia.
*Prof Dr Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di INCEIF University dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
