Armizan persoal dakwaan Warisan telah selesaikan 17 tuntutan MA63

KOTA KINABALU - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan dakwaan parti Warisan bahawa parti itu telah 'menjayakan 17 daripada 21 tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63)' ketika mentadbir kerajaan negeri antara 2018 hingga 2020.
Beliau berkata, sehingga hari ini Warisan masih belum mengemukakan sebarang senarai rasmi, bukti pelaksanaan atau tarikh kelulusan berkaitan dakwaan berkenaan, sedangkan MA63 adalah isu yang tidak boleh dijadikan modal politik tanpa sandaran fakta.
"Warisan dan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal 'menjual' bahawa mereka kononnya telah menjayakan 17 daripada 21 tuntutan MA63 ketika mereka memerintah, ketika jadi kerajaan negeri 2018 hingga 2020, dan ada wakil tiga Menteri Warisan di Kabinet Persekutuan.
"Dulu tahun 2023 pernah berbangkit, bila saya jawab, barulah Datuk Seri Shafie betulkan, belum selesai tapi telah dipersetujui. Sudah berbulan menjelang pilihan raya ini, sebab mungkin sudah tiada modal untuk dijual kepada rakyat, maka diulang kembali retorik dan modal yang sama.
"Saya ini pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap urusetia MA63 iaitu Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS). Saya ada akses kepada semua maklumat mengenai perbincangan rasmi MA63 di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak, itu sebabnya saya agak musykil bila beliau berulang kali bangkitkan Warisan telah menjayakan 17 perkara MA63," katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, isu MA63 sangat penting untuk Sabah maka tidak boleh biarkan ia hanya jadi tunggangan politik atau modal semasa pilihan raya.
Armizan turut mempersoalkan maksud sebenar perkara '17 tuntutan' yang dikatakan telah diselesaikan Warisan, sedangkan menurutnya persetujuan dasar atau perbincangan belum boleh dianggap sebagai kejayaan atau pelaksanaan rasmi.
"Setiap kenyataan perlu jujur dan bertanggungjawab. Persoalannya, apa dia yang Shafie dan Warisan maksudkan mereka telah menjayakan 17 tuntutan MA63? Kalau sekadar selesai dibangkit atau selesai dibincang, bukanlah maksudnya telah berjaya mahupun selesai. Selesai dalam erti kata sebenar adalah telah dibangkit dan telah dibincang dalam platform rasmi, ada keputusan dan ada tindakan susulan secara rasmi.”
"Dalam kerajaan ini kita biasa dengar frasa-frasa secara dasarnya dipersetujui, diluluskan secara prinsip atau dipersetujui untuk pertimbangan. Frasa-frasa tersebut tidaklah boleh disifatkan sebagai selesai atau telah dimuktamadkan.
"Kerana apa? Khususnya dalam konteks MA63, bukan sekadar kelulusan prinsip, persetujuan dasar tetapi persetujuan menyeluruh meliputi butiran pelaksanaan dan perlu ada hitam dan putihnya, sama ada perkara yang memerlukan tindakan secara legislatif (perundangan), eksekutif (pentadbiran) atau apa-apa tindakan rasmi yang lain," jelasnya.
Armizan berkata, beliau telah meneliti semula kenyataan-kenyataan pemimpin Warisan namun masih tidak menemui butiran khusus berhubung dakwaan pencapaian 17 perkara tersebut, kecuali dua isu yang sering disebut parti itu.
"Ada dua perkara yang mereka sering kali sebutkan iaitu dakwaan kononnya Warisan telah berjaya mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah atau rakan kongsi, sedangkan pindaan Perkara 1(2) pada tahun 2019 gagal mendapat kelulusan Parlimen.
"Tindakan tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam memakan diri, apabila pindaan berkenaan gagal mendapat kelulusan Dewan. Mujurlah, pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan ini akhirnya selesai apabila berjaya diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 dengan sokongan 200 Ahli Parlimen. Kemudian, Dewan Negara meluluskan pindaan tersebut pada 22 Disember 2021. Dan perlu diingatkan pindaan ini berlaku pada 2021, bukan tempoh Warisan memimpin Kerajaan Sabah dan Warisan juga bukan sebahagian daripada kerajaan Pusat," katanya.
Tambah Armizani, bahagian seterusnya ialah mengenai dakwaan Warisan kononnya berjaya mendapatkan kuasa lesen laut dalam untuk Sabah, sedangkan pelaksanaannya hanya berlaku selepas tahun 2021 ketika kerajaan negeri dipimpin GRS.
"Kedua, kuasa pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2 atau yang biasa disebutkan sebagai perikanan laut dalam. Sebelum kuasa ini dikembalikan, semua lesen laut dalam dikeluarkan atau adalah kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia.”
"Sekali lagi, Shafie Apdal menjaja cerita bahawa Warisan lah yang gigih memperjuangkan isu dan berjaya menyelesaikan tuntutan ini," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa fakta sebenar menunjukkan kuasa perlesenan laut dalam hanya dipersetujui Majlis Khas MA63 dan diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 sebelum diserahkan secara rasmi kepada Sabah.
"Itu auta Warisan. Tapi apa faktanya? Pemberian kuasa berkaitan lesen dan permit Perikanan Laut Dalam kepada Sabah hanya berlaku selepas era Warisan iaitu pada tahun 2021. Dipersetujui oleh Majlis Khas MA63, diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021, disusuli dengan tindakan Majlis Penyerahan Surat Empowerment Berkenaan Perlesenan Perikanan Laut dalam kepada Sabah pada 4 Disember 2021.”
"Majlis Penyerahan ini disampaikan sendiri oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada ketika itu kepada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah. Disaksikan oleh Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah (GRS ya, bukan Warisan).
"Ini baru dua contoh auta Warisan yang 'claim' terpaling MA63. Baki 15 lagi saya bagi ruang kepada Warisan untuk bagi butiran kejayaan mereka, ingat bukan sekadar persetujuan dasar, berjaya atau selesai bermaksud telah ada persetujuan, kelulusan dan bukti dilaksanakan melalui instrumen rasmi tertentu," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya rakyat tidak dikelirukan dengan dakwaan yang tidak disertakan bukti.
"Jangan pula nanti jawapannya persetujuan sudah ada tapi ambil masa untuk dilaksanakan. Kalau itu jawapannya memang maksudnya cubaan mengelirukan rakyat.
"Pemberian kuasa laut dalam contohnya tidak perlu tempoh berbulan atau bertahun untuk dilaksanakan, kalau betul telah dipersetujui atau diluluskan, satu hari pun instrumen pemberian kuasa boleh siap untuk dikeluarkan.
"Inilah beza komitmen antara Warisan dan kerajaan Pusat zaman mereka dan cara kerja GRS dan kerajaan Persekutuan Madani masa kini dan saya bersyukur kerana dalam tempoh setahun saya memimpin urusetia MA63 di Jabatan Perdana Menteri (JPM), ada beberapa perkara yang bukan sahaja dipersetujui, tapi diluluskan dan dilaksanakan melalui instrumen rasmi.
"Paling penting ini adalah atas kerjasama konstruktif di antara kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor. Kita tidak sekadar bercakap, mendakwa atau melebih-lebihkan, tetapi kita membuktikan melalui tindakan dan kerja yang sedang berjalan. Selamatkan Sabah daripada auta Warisan," katanya.
Ringkasan AI
- Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan dakwaan Warisan telah menyelesaikan 17 tuntutan MA63
- Warisan gagal mengemukakan bukti pelaksanaan dakwaan tersebut
- Armizan mempersoalkan apa maksud sebenar '17 tuntutan' itu diselesaikan tanpa bukti rasmi
- Beliau menegaskan dua isu sering disebut oleh Warisan tidak selesai semasa pemerintahan mereka
- Armizan mengingatkan supaya rakyat tidak dikelirukan dengan dakwaan tanpa bukti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
