Dua wabak mencengkam negara

Rasuah membolehkan dadah melepasi sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang tanpa halangan. Gambar kecil: Faridah
Rasuah membolehkan dadah melepasi sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang tanpa halangan. Gambar kecil: Faridah
A
A
A

MASALAH dadah di Malaysia bukan sekadar isu penagihan semata-mata. Dalam usaha membanteras gejala ini, kita sering menumpukan perhatian kepada penagih dan pengedar.

Namun, satu aspek jarang dibincangkan secara terbuka tetapi sangat kritikal ialah peranan rasuah dalam merangsang permintaan dan membolehkan penawaran dadah terus berleluasa.

Sempena kempen integriti dan anti-rasuah, penting untuk kita meneliti bagaimana rasuah menjadi pemangkin kepada rantaian penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

Kita terpaksa menerima hakikat di balik tabir gelap masalah ini, wujud satu 'musuh dalam selimut' yang menyuburkan gejala ini iaitu gejala rasuah.

Permintaan dadah sering dikaitkan tekanan hidup, pengaruh rakan sebaya dan kekurangan sokongan sosial. Namun, apabila permintaan ini tidak dibendung, ia mencipta pasaran gelap yang sangat menguntungkan.

Kartel dadah dan sindiket jenayah terancang melihat peluang besar untuk memenuhi permintaan ini. Dan di sinilah rasuah mula memainkan peranan.

Pendedahan Perdana Menteri baru-baru ini, terdapat kartel besar menyeludup dadah melalui kontena dari Pelabuhan Klang lebih 20 tahun tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Ini menimbulkan persoalan besar: bagaimana aktiviti sebesar ini boleh terlepas daripada radar penguatkuasaan? Jawapannya terletak pada rasuah sama ada dalam bentuk sogokan, pengabaian tugas, atau kerjasama sulit antara sindiket dan individu dalam agensi penguatkuasa.

Rasuah membolehkan dadah melepasi sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang tanpa halangan. Ia juga melemahkan sistem keadilan apabila pengedar yang ditangkap boleh 'membeli' kebebasan mereka. Akibatnya, penawaran dadah kekal stabil atau meningkat, sekali gus memenuhi permintaan yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Apabila rasuah menjadi budaya, ia bukan sahaja merosakkan integriti institusi, malah mengancam keselamatan negara. Penawaran dadah yang tidak terkawal membawa peningkatan kes jenayah, keruntuhan institusi keluarga dan beban kepada sistem kesihatan awam. Lebih membimbangkan, generasi muda menjadi mangsa utama dalam kitaran ini.

Untuk memutuskan rantaian ini, integriti mesti menjadi tunjang setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan penjawat awam dan penguat kuasa.

Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2028 menekankan keperluan memperkukuh tadbir urus, memperketat pengawasan sempadan dan memperkasakan pelaporan salah laku.

Lakukanlah tapisan integriti berkala, audit gaya hidup dan pemantauan dalaman terhadap anggota berisiko. Jika wujud salah laku, laksanakanlah hukuman keras bagi kakitangan awam terlibat sindiket dadah.

Sokongan kepada pemberi maklumat (whistleblower) perlu dipastikan agar dapat melindungi individu yang mendedahkan perbuatan rasuah dalam isu dadah dengan jaminan undang-undang.

Kempen kesedaran, pendidikan nilai dan perlindungan kepada orang ramai perlu diperkasa. Hanya dengan menutup ruang kepada rasuah, kita dapat melemahkan sindiket dadah dan mengurangkan permintaan melalui pemulihan dan pencegahan yang berkesan.

Kesimpulannya, rasuah bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan nilai moral masyarakat. Ia melemahkan institusi, menjejaskan pembangunan negara dan menindas golongan lemah.

Dalam konteks isu sosial seperti penyalahgunaan dadah, rasuah menjadi pemangkin penyeludupan dan pengedaran yang tidak terkawal, ia menggagalkan usaha pemulihan dan pencegahan.

Kempen integriti dan antirasuah bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan membina budaya berteraskan kejujuran, tanggungjawab dan ketelusan. Ia menuntut komitmen semua pihak daripada pemimpin tertinggi negara hingga ke rakyat biasa untuk menolak rasuah dalam apa jua bentuk.

Jangan biarkan negara kita hancur kerana ketamakan segelintir. Tegakkan integriti, walau di mana kita berada.

“Rasuah Membunuh Harapan, Integriti Menyuburkan Masa Depan”

 

*Faridah Maludin, Unit Putuskan Rantaian Dadah Kluster Masyarakat Progresif Pertubuhan IKRAM Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!