Kontrak bukan sekadar atas kertas

Isu kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menjadi cermin mengenai cabaran komunikasi dan struktur pengurusan BAM.
Isu kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menjadi cermin mengenai cabaran komunikasi dan struktur pengurusan BAM.
A
A
A

SETELAH lebih enam bulan tertangguh tanpa kata putus, isu kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bukan sahaja menemui titik noktah, tetapi ia menjadi cermin mengenai cabaran komunikasi dan struktur pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dalam konteks sukan profesional yang semakin terbuka dan kompetitif, situasi ini bukan lagi isu dalaman semata-mata, tetapi ia satu isyarat kepada semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bahawa pendekatan lama tidak lagi relevan untuk mengurus atlet elit bertaraf dunia.

Peminat sukan tanah air, pengkritik dan pemain muda sedang memerhati - bukan sekadar tertumpu kepada keputusan akhir kontrak, tetapi bagaimana proses itu diurus, diuarkan dan dijelaskan secara profesional serta berhemah.

Hakikatnya, kontrak atlet bukan sekadar hitam putih atas kertas, tetapi ia simbol kepercayaan dua hala antara pemain yang berkorban demi negara dan badan induk yang bertanggungjawab menyediakan sokongan menyeluruh.

Dalam isu pasangan nombor tiga dunia itu, kelewatan ini mencerminkan kekangan dalam seni komunikasi dan rundingan yang seharusnya lebih terancang dan empati, bukan birokratik atau bersifat mengawal.

Sebagai pemain yang telah membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa, mereka berhak mendapatkan rundingan yang adil, telus dan menghargai sumbangan mereka, bukan terumbang-ambing dalam ketidaktentuan.

Dalam era media sosial, setiap pengurusan sukan perlu ada kemahiran diplomasi dan strategi komunikasi organisasi. BAM dan PSK perlu memperkukuh kebolehan ini — bukan hanya dalam media awam, tetapi secara dalaman.

Juara Terbuka Thailand 2025 itu tidak menuntut kemewahan luar biasa. Mereka hanya inginkan kejelasan masa depan, struktur sokongan konsisten serta fleksibiliti latihan dan pertandingan untuk mencapai potensi maksimum.

Kelewatan ini turut memberikan kesan terhadap motivasi pemain lain, terutama pelapis wanita dan kelompok pemain muda yang mungkin tertanya-tanya adakah BAM benar-benar mampu membina dan menjaga karier atlet dengan serius?

Artikel Berkaitan:

Justeru, penyelesaian menang-menang perlu menjadi kerangka untuk rundingan pada masa depan. BAM tidak boleh terlalu tegar dengan syarat sepihak, manakala pemain juga perlu menunjukkan komitmen profesional terhadap indeks petunjuk prestasi dan disiplin sukan.

Salah satu pendekatan yang boleh diteroka ialah model kontrak fleksibel berasaskan prestasi yang memberi ruang kepada pemain untuk mengatur sebahagian latihan atau program fizikal secara luar, namun tetap berada dalam rangka pengawasan BAM.

Model sebegini memberi kepercayaan kepada pemain, namun BAM kekal sebagai entiti induk yang menentukan hala tuju prestasi. Ia lebih selari dengan model negara-negara maju dalam pengurusan atlet elit.

Pada masa sama, pemain tidak boleh dilihat hanya sebagai ‘pengguna fasiliti BAM’, tetapi sebagai rakan strategik pembangunan ekosistem badminton negara dan kolaborasi ampuh bersama penaja.

Kontrak pemain elit seperti Pearly-Thinaah sepatutnya menjadi aspirasi kepada bakat muda untuk terus kekal dalam sistem BAM, bukan sebaliknya.

Apabila pelapis melihat pemain senior tidak diberi keutamaan dan kejelasan, mereka mungkin memilih jalan keluar lebih awal termasuk menjadi pemain bebas pada usia muda.

BAM harus berani menjadikan Pearly-Thinaah sebagai mentor dalam pembangunan pemain muda dan menunjukkan bahawa sistem badan induk itu mampu menjaga serta membina atlet dari remaja hingga ke peringkat dunia.

Di sebalik penyelesaian isu beregu sensasi itu, BAM juga tidak boleh duduk diam untuk terus memperkasa program pembangunan kem perseorangan lelaki dan wanita yang kian hanyut selepas era Datuk Lee Chong Wei.

Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada dua atau tiga nama yang sama kerana ia berisiko untuk tempoh jangka panjang.

Isu kontrak Pearly-Thinaah sepatutnya menjadi wake-up call kepada BAM. Ia bukan hanya isu dua individu, tetapi cerminan kepada sejauh mana sistem kita mampu berkembang bersama zaman.

Masa untuk pembaharuan lebih inklusif dan berorientasikan prestasi telah tiba. BAM tidak boleh hanya bercakap soal pelan jangka panjang tanpa memperkukuhkan kepercayaan dengan kelompok pemain utama dan pelapis muda.

Menerusi pendekatan komunikasi terbuka, diplomasi sukan berhemah dan strategi pembangunan holistik, Malaysia boleh kembali menjadi kuasa besar badminton dunia — bukan sekadar sejarah, tetapi realiti masa depan.

*Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!