47 khemah peniaga diterbangkan ribut

MELAKA - Seramai 47 peniaga di Bazar Makan Gastro@Serindit di sini berdepan detik cemas selepas khemah mereka diterbangkan ribut dalam kejadian petang Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, dilaporkan seorang peniaga mengalami cedera ringan pada bahagian kaki selain sebuah kereta turut mengalami cermin belakang pecah dalam kejadian jam 6.45 petang itu.
Menurutnya, ribut kuat dan hujan lebat yang melanda kawasan itu berlaku selama 15 minit menyebabkan peralatan peniaga terjejas.
Beliau berkata, pihak penganjur telah diminta menilai semula bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi mengurangkan beban peniaga.
“Penganjur bersetuju menyalurkan beberapa bentuk bantuan segera, termasuk diskaun 50 peratus bagi bayaran sewaan bulan Disember.
“Selain itu, kutipan bayaran dijadualkan semula pada hujung bulan bagi membantu peniaga mengurangkan tekanan kewangan," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Noor Helmy berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan penganjur serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan peniaga terjamin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tiada laporan kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berkenaan.
Ringkasan AI
- Seramai 47 peniaga Bazar Makan Gastro@Serindit di Melaka mengalami keadaan cemas apabila khemah mereka diterbangkan ribut
- Seorang peniaga mengalami cedera ringan dan sebuah kereta mengalami cermin belakang pecah
- Ribut dan hujan lebat yang berlaku selama 15 minit telah menjejaskan peralatan peniaga
- Penganjur bazar setuju untuk menyalurkan bantuan termasuk diskaun 50 peratus sewa bulan Disember dan menjadualkan semula kutipan bayaran
- Tidak ada laporan kawasan dinaiki air susulan hujan lebat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


