Melaka perkukuh kerjasama hospital swasta tangani kesesakan pesakit - Exco

Ban Hong.
Ban Hong.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan hospital swasta selain menambah baik fasiliti dan kemudahan perubatan serta meneliti keperluan menambah petugas kesihatan bagi menangani isu kepadatan pesakit di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan dan Modal Insan, Datuk Lim Ban Hong berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bagi mengenal pasti langkah penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, kerjasama dengan hospital swasta antara lain bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan kesihatan dan penyediaan laporan perubatan, sekali gus mengurangkan beban perkhidmatan di Hospital Melaka.

“Kita juga akan menambah baik perkhidmatan sedia ada di Hospital Melaka sendiri.

“Usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan dan minggu depan saya sudah mempunyai jadual untuk mengadakan lawatan ke Hospital Melaka serta bertemu pihak pengurusan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kualiti perkhidmatan di Hospital Melaka yang sering dibangkitkan di media sosial.

Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang berkata, segala inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini termasuk kerjasama dengan hospital swasta serta penambahbaikan fasiliti dan kemudahan perubatan akan diteliti bagi memastikan kesinambungannya.

Dalam pada itu, Ban Hong yang baharu seminggu memegang jawatan Exco berkata, antara tindakan awalnya selepas mengambil alih portfolio itu adalah mengadakan pertemuan dengan JKN Melaka serta agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memahami fungsi, peranan dan keperluan masing-masing.

Beliau bersama timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta kepimpinan jabatan berkaitan turut merancang mengadakan siri lawatan ke tiga hospital kerajaan dan 37 klinik kesihatan di negeri ini.

“Lawatan ini penting untuk kita memahami dengan lebih dekat keadaan infrastruktur, keperluan anggota perubatan serta mendengar sendiri maklum balas pesakit bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.

“Fokus utama kita adalah memastikan rakyat Melaka menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan pembinaan hospital baharu di kawasan Hang Tuah Jaya seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Ban Hong berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu sebelum memperincikan cadangan tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!