Perhilitan teruskan pemantauan buaya tembaga di Empangan Duyong

MELAKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akan meneruskan rondaan dan pemantauan susulan laporan kemunculan seekor buaya tersesat di Empangan 25 Sungai Duyong di sini.
Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima aduan daripada Pegawai Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Asri Abdul Ghani berhubung penemuan buaya dipercayai daripada spesies buaya tembaga sekitar jam 10 malam, Sabtu.
Menurut beliau, dua anggota Perhilitan telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan namun tiada kelibat reptilia tersebut dijumpai.
“Hasil pemeriksaan mendapati buaya berkenaan dipercayai berada di kawasan empangan berikutan paras air sungai yang tinggi, sekali gus memungkinkan ia dibawa arus hingga ke pintu air Empangan Duyong.
“Arus sungai di kawasan itu kebiasaannya akan surut apabila pintu empangan dibuka, sehingga menampakkan pasir yang tidak sesuai sebagai habitat buaya.
"Keadaan itu menimbulkan kemungkinan haiwan berkenaan tersesat dari habitat asalnya di Muara Sungai Duyong,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, berdasarkan gambar yang dikongsi penduduk setempat, buaya tersebut dianggarkan sepanjang tiga meter namun jantina, umur dan tahap kecederaan reptilia itu tidak dapat dipastikan.
“Perhilitan telah menjalankan rondaan pemantauan di sekitar lokasi dan rondaan susulan termasuk pada waktu malam akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk serta memantau pergerakan reptilia itu,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan hidupan liar.
Sebarang aduan berkaitan hidupan liar boleh disalurkan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web rasmi jabatan berkenaan.
Ringkasan AI
- Perhilitan Melaka akan terus memantau empangan Sungai Duyong susulan laporan buaya tersesat
- Pengarah Perhilitan Melaka mengatakan aduan diterima berhubung penemuan buaya dipercayai spesies buaya tembaga
- Dua anggota Perhilitan gagal menemui buaya tersebut semasa siasatan awal
- Buaya dipercayai tersesat ke empangan disebabkan paras air yang tinggi
- Rondaan pemantauan termasuk waktu malam dilakukan untuk memastikan keselamatan penduduk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

