Suri rumah 'keluar duit poket' sumbang barangan dapur

Herawati mengagihkan sarapan pagi kepada petugas di Klinik Kesihatan Sungai Kajang di sini.
Herawati mengagihkan sarapan pagi kepada petugas di Klinik Kesihatan Sungai Kajang di sini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang suri rumah mengambil inisiatif membantu mereka yang terjejas pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengagihkan barangan dapur kepada penduduk sekitar Sungai Kajang di sini sejak empat hari lalu.

Herawati Basri, 37, berkata, projek itu antara usahanya bersama enam rakan lain yang menubuhkan 'Team reach out of asnaf Tanjong Karang' bagi menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, inisiatif itu digerakkan apabila melihat ada dalam kalangan penduduk hilang punca pendapatan memerlukan barangan keperluan harian.

"Hati saya tersentuh apabila membaca status di Facebook ada dalam kalangan mereka yang hidup susah terpaksa melalui saat getir menyara kehidupan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian.

Herawati memberitahu, sehingga kini, pihaknya sudah mengagihkan barangan keperluan bernilai kira-kira RM50 kepada 300 penerima.

"Kami tiada dana khusus melainkan menggunakan wang simpanan sendiri dan bantuan rakan untuk membeli barangan keperluan.

"Antara barangan diagihkan kepada penduduk terbabit ialah lima kilogram beras, telur, gula, sardin dan tepung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian sumbangan barangan keperluan diletakkan di atas meja bagi tujuan pengagihan kepada golongan memerlukan.
Sebahagian sumbangan barangan keperluan diletakkan di atas meja bagi tujuan pengagihan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, pengagihan sepanjang tiga hari projek itu dilaksanakan di rumahnya sendiri.

"Kami menerima sesiapa sahaja untuk datang mengambil barangan keperluan tanpa sebarang syarat.

"Sesiapa sahaja yang tiada kemampuan boleh datang ke sini dan kita menyediakan meja dan meminta mereka beratur dengan jarak tertentu seperti saranan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19," katanya.

Menurut Herawati, pengagihan bantuan turut dilakukan dengan menyampaikan secara terus dari rumah ke rumah terutama warga emas atau penghuni yang tidak sihat bermula petang ini.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyediakan sarapan pagi sebanyak 50 bungkus nasi lemak ayam kepada petugas di Klinik Kesihatan Sungai Kajang.

"Saya gembira apabila dapat membantu mereka yang memerlukan dan inilah sumbangan yang dapat saya berikan kepada negara dalam tempoh PKP ini," katanya.