PRN Sabah: Penalti RM50 juta jika calon lompat parti - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO menyampaikan ucapan pada program Jelajah TVET MARA di Dataran Kinabatangan pada Sabtu. -Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO menyampaikan ucapan pada program Jelajah TVET MARA di Dataran Kinabatangan pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN daripada BN yang melompat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian.

Beliau berkata, walaupun mustahil untuk ADUN yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka.

"Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri turut meningatkan agar kesemua 45 calon BN yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan UMNO kembali menjadi dominan di Sabah.

Beliau berkata, rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan UMNO kembali memerintah negeri itu selepas 29 November ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan.

"Saya diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan.

"Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” katanya.

Pada 25 Mei 2023, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan ADUN bertukar atau melompat parti.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November nanti sebagai hari pengundian manakala 25 November ini bagi pengundian awal. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah
  • Ahmad Zahid Hamidi menerima janji ADUN BN yang melompat dalam PRN Sabah akan dikenakan penalti tersebut
  • Walaupun mustahil untuk ADUN dipilih melompat disebabkan Akta Lompat Parti, mereka tetap akan berdepan dengan penalti dan tindakan mahkamah jika melakukannya
  • Penalti dikenakan untuk mengelak kejadian lompat parti dalam pilihan raya negeri yang lepas berulang
  • Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian PRN Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!