PRN Sabah: Calon BN jangan terlalu yakin, jangka kejutan saat akhir – Ahmad Maslan

PONTIAN– Kesemua 45 calon Barisan Nasiaonal (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 diingatkan tidak terlalu yakin akan menang dengan mudah menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengalaman pilihan raya di Sabah menunjukkan banyak perubahan dan kejutan boleh berlaku pada saat akhir
“Kepada calon yang rasa dirinya akan menang jangan terlalu yakin, yang rasa dirinya akan kalah pula jangan berputus asa.
"Jangan anggap kita sudah menang awal atau sudah kalah awal. Dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Jadi teruskan usaha berbaki enam hari lagi kempen," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Masjid, di sini pada Isnin.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, setiap calon mempunyai peluang setara kerana sokongan pengundi boleh berubah mengikut pendekatan yang dibuat pada peringkat akhir kempen.
Beliau menegaskan, setiap calon perlu bekerja lebih kuat dengan bertemu pengundi secara bersemuka atau sekurang-kurangnya melalui media sosial.
“Saya sarankan setiap calon menemui sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi di kawasan masing-masing.
"Jika ada 10,000 pengundi, usahakan bertemu 7,000 pengundi. Pendekatan merendah diri dan usaha mendekati pengundi adalah faktor yang mampu memberi kelebihan pada saat akhir kempen," katanya.
Pada 9 November lalu, BN Sabah mengumumkan senarai 41 calon yang bakal bertanding pada PRN kali ini menggandingkan muka baharu dan lama, sebelum tambahan empat lagi calon diumumkan pada 12 November menjadikan bilangan keseluruhan calon daripada parti itu sebanyak 45 orang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada Sabtu ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Ringkasan AI
- Calon BN diingatkan tidak terlalu yakin menang mudah di PRN Sabah
- Ahmad Maslan berkata banyak kejutan boleh berlaku di pilihan raya Sabah
- Setiap calon BN mempunyai peluang setara dan sokongan pengundi boleh berubah
- Calon disarankan bertemu sekurang-kurangnya 70% pengundi di kawasan mereka
- BN Sabah mengumumkan 45 calon untuk PRN, tarikh pengundian pada 29 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

