Banjir: Calon SPM, bayi empat bulan antara mangsa dipindah PPS

Siti Norina (dua dari kiri) yang melawat mangsa banjir di Bachok.
Siti Norina (dua dari kiri) yang melawat mangsa banjir di Bachok.
A
A
A

BACHOK - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengalami kecederaan tangan kiri serta seorang bayi berusia empat bulan antara mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan di sini pada Sabtu.

Calon SPM, Che Mohd Hanif Haikal Che Hazani, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sering, berpindah bersama keluarganya dari Kampung Budi sekitar jam 9 pagi selepas air mula memasuki rumah setinggi satu meter.

Che Mohd Hanif Haikal bakal memulakan peperiksaan bertulis pada Selasa ini dan masih dalam rawatan dengan enam jahitan selepas cedera tercabut kuku ibu jari akibat terkena pisau ketika mengupas kelapa minggu lalu.

Ibunya, Nor Azizah Ibrahim (kiri) memegang perlahan tangan kiri Che Mohd Hanif Haikal yang cedera.
Ibunya, Nor Azizah Ibrahim (kiri) memegang perlahan tangan kiri Che Mohd Hanif Haikal yang cedera.

“Memang sudah tahu dan siap sedia musim tengkujuh, buku-buku untuk ulang kaji semua diletakkan di tempat tinggi.

“Buku selamat dan akan dibawa ke PPS untuk saya ulang kaji,” katanya ketika ditemui di PPS itu pada Sabtu.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad turut melawat mangsa banjir di PPS tersebut.

Di Taman Budi, Tawang, pula seorang bayi berusia empat bulan turut dipindahkan bersama ibunya selepas rumah keluarga mereka dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Nur Awanis Mohd Anneur, 27, berkata, mereka terpaksa keluar sekitar jam 10 malam ketika hujan masih lebat kerana kawasan rumah berhampiran sawah padi itu mula dinaiki air dengan cepat.

“Saya tumpangkan bayi dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda adik untuk berpindah,” katanya yang berpindah bersama suaminya, Mohd Suhairul Razman Suhaimi, 43, sedta dua anak mereka.

Sementara itu, satu lagi keluarga turut dipindahkan bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Nur Inara Anisa Mohd Ikmal Ikhwan yang masih dalam pemulihan selepas dua kali patah tangan, pertama pada September dan kedua pada dua minggu lalu.

Ibunya, Nur Syafiqa Nasir, 29, berkata, mereka dibawa keluar oleh polis menggunakan pacuan empat roda selepas air mencecah paras 0.5 meter.

“Dia masih sakit tapi aktif dan boleh tinggal di PPS,” katanya.

Setakat ini, seramai 43 mangsa daripada 12 keluarga telah dipindahkan ke PPS melibatkan beberapa kawasan rendah yang terus terjejas akibat hujan lebat sejak dua hingga tiga hari lalu.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang calon SPM dan bayi empat bulan antara mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Pauh Sembilan
  • Calon SPM itu, Che Mohd Hanif Haikal mengalami kecederaan tangan dan akan menghadapi peperiksaan bertulis dengan enam jahitan pada ibu jari
  • Mereka berpindah ke PPS selepas air banjir memasuki rumah mereka
  • Bayi empat bulan dipindahkan bersama ibunya dari Taman Budi, Tawang setelah rumah mereka dinaiki air
  • Sejumlah 43 mangsa dari 12 keluarga telah dipindahkan ke PPS akibat hujan lebat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!