Sekat permainan harga motosikal

SETAHUN dua ini dunia motosikal negara memang meriah dengan kemasukan pelbagai jenis dan jenama jentera dua roda itu di pasaran tempatan.
Paling meriah ialah model dan jenama dari negara China yang bukan sahaja menawarkan motosikal dengan reka bentuk dan teknologi terkini, tetapi dijual pada harga mampu milik.
Bagaimanapun pengeluar jenama antarabangsa yang sudah terkenal sejak sekian lama, tidak melihat kehadiran motosikal China ini satu ancaman kerana yakin dengan kualiti yang mereka ditawarkan.
Cuma baru-baru ini satu jenama tempatan tampil dengan sebuah motosikal supermoped mampu milik yang kini menjadi buah mulut dalam kalangan peminat-peminat jentera dua roda.
Cuma yang tidak enaknya, ada laporan di media sosial mengatakan terdapat peniaga ibarat cacing naik ke mata, menaikkan harga lebih tinggi daripada yang diumumkan oleh pengeluar.
Ini bukan perkara baharu dalam industri penjualan motosikal dan pernah dilaporkan oleh media beberapa bulan lalu.
Ia kemudian mendapat perhatian daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan sedang mengkaji langkah menyelaraskan harga motosikal yang dijual di bandar dan luar bandar.
Kementerian itu juga akan melihat syarat penjualan motosikal membabitkan bayaran secara tunai dan ansuran kepada pembeli agar tidak berlakunya manipulasi harga oleh pihak peniaga.
Difahamkan kajian tersebut dimulakan dengan pembabitan pihak pengeluar motosikal, kilang, pengedar dan persatuan selain pertubuhan bukan kerajaan.
Bagaimanapun, sudah hampir 11 bulan kenyataan itu dibuat dan kita harap agar pihak kementerian dapatlah mendedahkan hasil kajian yang dilakukan itu.
Kerajaan perlu melindungi pembeli-pembeli motosikal kerana kebanyakan daripada mereka merupakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut data rasmi terkini pada dashboard pendaftaran kenderaan kerajaan, data.gov.my menunjukkan kira-kira 12.96 juta motosikal berdaftar di negara ini.
Menurut laporan oleh TechSci Research, pasaran kenderaan dua roda di Malaysia dianggarkan bernilai AS$736.31 juta (RM3.5 bilion).
Namun data daripada Statista pula menyatakan bahawa pasaran motosikal Malaysia menjangkau AS$2.85 bilion (RM13.7 bilion) pada 2024 dan dijangka meningkat kepada AS$3.75 bilion (RM18 bilion) pada 2027.
Perbezaan besar angka tersebut mungkin disebabkan oleh definisi perkataan kenderaan dua roda yang melaporkan data motosikal baharu yang jual, sementara kajian Statista mungkin merangkumi keseluruhan penjualan unit motosikal, alat ganti, servis dan pelbagai segmen dalam industri motosikal.
Sementara itu, laporan daripada persatuan dan industri menyebut jualan motosikal baharu di Malaysia sering berada di lingkungan 500,000 hingga 750,000 unit setahun.
Data-data ini menunjukkan industri penjualan motosikal di negara ini sangat baik dan terus berkembang.
Tetapi disebabkan ada peniaga-peniaga yang suka mengambil kesempatan menyebabkan rakyat yang ingin memiliki sebuah motosikal terpaksa menanggung kos yang tinggi.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai kehadiran dua pusat servis peneraju dan terbesar dari negara China.
Dilaporkan ia merupakan pusat servis yang disokong oleh syarikat gergasi teknologi, Tencent dan ia terkenal sebagai rangkaian perkhidmatan kereta yang komprehensif dan berkualiti.
Pusat servis ini mempunyai lebih 7,000 premis di serata China dengan menyediakan rangkaian perkhidmatan automotif yang lengkap, termasuk perkhidmatan penyelenggaraan rutin, servis tayar, pembaikan kenderaan, pemasangan filem dan Paint Protection Film (PPF) serta perkhidmatan cuci kereta.
Ciri penting yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat pusat servis itu di China adalah melalui aplikasi mudah alih mereka dan pengguna boleh menjejaki status servis kereta mereka dan melihat anggaran harga perkhidmatan melalui aplikasi yang disediakan.
Pusat itu turut menjual produk minyak hitam, tayar dengan harga yang cukup murah dan diberikan waranti selama enam tahun.
Sudah tentu ini memberi tamparan besar kepada pusat-pusat servis tempatan terutama yang sering menekan pengguna dengan harga yang tidak masuk akal.
Jadi bersedialah untuk hadapi persaingan sengit dan berniagalah dengan jujur serta berhentilah menipu pelanggan.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
