Kemasukan pelancong China ke Pulau Pinang melonjak 520.2 peratus

GEORGE TOWN - Pulau Pinang mencatat perkembangan terbaik dalam sektor pelancongan apabila kemasukan pelancong China melonjak sebanyak 520.2 peratus dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Data Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang menunjukkan jumlah pelancong China meningkat daripada 26,056 orang pada 2023 kepada 161,599 orang pada 2025, menjadikan negara itu penyumbang kedua terbesar ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, peningkatan mendadak itu memberi isyarat jelas bahawa China merupakan pasaran strategik yang berpotensi besar kepada ekonomi negeri.
Beliau berkata, negara lain yang turut mencatatkan peningkatan positif ialah India (245.1 peratus), Thailand (49.6 peratus), United Kingdom (44.2 peratus), Jepun (41.4 peratus) dan Australia (25.7 peratus).
"Indonesia kekal penyumbang tertinggi selama tiga tahun berturut-turut manakala Singapura mencatatkan penurunan 12.2 peratus," katanya sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Hon Wai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) berhubung 10 negara teratas bagi ketibaan pelancong antarabangsa di LTAPP bagi 2025 serta perbandingan dengan tempoh yang sama bagi tahun 2023 dan 2024.
Sementara itu, Hon Wai berkata, dalam usaha memperluaskan kemasukan pelancong dari rantau lain, Penang Global Tourism (PGT) turut memperhebat kerjasama dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan dari negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman.
Menurutnya, ia termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa seperti Arabian Travel Market (ATM) di Dubai selain pelancaran dua laluan penerbangan penting dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini iaitu Pulau Pinang–Doha melalui Qatar Airways dan Pulau Pinang–Dubai melalui Flydubai.
"PGT turut melaksanakan kempen promosi digital yang disesuaikan dengan budaya dan keperluan pelancong Asia Barat seperti penginapan mesra Muslim, makanan halal, pakej percutian keluarga, rawatan kesihatan dan kesejahteraan gaya hidup mewah.
"Semua kandungan promosi juga diterjemahkan dalam bahasa Arab sebelum disebarkan melalui platform media sosial dan portal pelancongan popular di rantau tersebut," jelasnya.
Menurut beliau lagi, Pulau Pinang turut memperkukuh sektor pelancongan kesihatan dengan mempromosi hospital bertaraf antarabangsa yang menawarkan kepakaran tinggi serta pakej pemeriksaan kesihatan terutama untuk pelancong Asia Barat.
"Kempen ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memudahkan akses dan menarik lebih ramai pelancong kesihatan.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak mempunyai data terperinci mengenai pendapatan pelancongan dari Asia Barat berbanding Eropah, China dan India," katanya.
Jelas Hon Wai lagi, pasaran yang berpotensi untuk diteroka secara agresif pada masa hadapan termasuk China, India, negara-negara Asia Tenggara, Australia, Timur Tengah, Korea dan Jepun.
"Kerajaan negeri percaya peluasan laluan penerbangan antarabangsa dan promosi berterusan akan terus melonjakkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Bukhori Ghazali (Pas-Pinang Tunggal) berhubung strategi dan pencapaian kerajaan negeri dalam menerokai pasaran pelancongan dari Asia, inisiatif utama yang telah dilaksanakan dalam menarik pelancong Asia Barat serta hasil pendapatan pelancongan dari Asia Barat berbanding dari Eropah, China dan India dari 2020 sehingga sekarang.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang mencatat perkembangan terbaik dengan kemasukan pelancong China yang melonjak sebanyak 520.2 peratus pada 2025
- Jumlah pelancong China meningkat daripada 26,056 orang pada 2023 kepada 161,599 orang pada 2025
- Negara lain seperti India, Thailand, United Kingdom, Jepun, dan Australia turut mencatatkan peningkatan positif dalam kadar ketibaan pelancong
- Pulau Pinang memperluas kemasukan pelancong dengan memperhebat kerjasama penerbangan dan pelancongan dengan negara-negara seperti Arab Saudi, UAE, Qatar, dan Oman
- Pulau Pinang menjadi destinasi pelancongan utama melalui peluasan laluan penerbangan antarabangsa dan promosi berterusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

