Isu pajakan Pulau Pinang: Sanusi tidak gentar, takkan berundur

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak gentar biarpun terpaksa berdepan laluan berliku untuk membawa isu pajakan Pulau Pinang ke mahkamah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan langkah perundangan itu dibuat bukanlah untuk mencabar perlembagaan, sebaliknya membiarkan perkara itu diselesaikan melalui saluran undang-undang.
“Lawan dengan siapa pun, saya tidak akan berundur lagi, jangan gempar saya, jangan usik saya, dakwa saya cabar perlembagaan...apa yang telah kita hilang, kita mahu dapat balik,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Khamis.
Beliau menegaskan, tidak akan sesekali berundur, malah membayangkan bahawa tindakan tersebut sebagai meneruskan apa yang diperjuangkan generasi terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negeri.
"Saya adalah anak cucu kepada pejuang negeri ini, saya yakin pada satu ketika, ketika kerajaan, kepimpinan kita lemah, diserang, dicengkam, dilanyak, dibunuh oleh kuasa besar, di hati kecil, walaupun sedang bernaung, berlindung dalam satu kapal kecil di Sungai Merbok... mengharapkan pada suatu hari nanti, anak cucu aku akan bangkit tuntut kembali apa yang telah hilang.
"Kamilah anak cucu itu, kami tidak gentar, kami tidak takut, perjuangan ini akan diteruskan sampai kebenaran muncul sama ada kami menang atau kami mati,” tegasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Kedah kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan lantikan pasukan peguam bagi meneruskan proses perundangan berkaitan isu pajakan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, perkara itu telah mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga terdapat dakwaan mengatakan tindakan menteri besar itu sengaja untuk mencabar perlembagaan negara.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak gentar bawa isu pajakan Pulau Pinang ke mahkamah
- Langkah perundangan bukan untuk mencabar perlembagaan tetapi untuk penyelesaian melalui undang-undang
- Muhammad Sanusi berazam tidak akan berundur demi mempertahankan kedaulatan negeri
- Beliau menganggap perjuangan ini sebagai warisan generasi terdahulu
- Perjuangan akan diteruskan sampai kebenaran tercapai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

