Keningau bakal hab pengeluar padi bukit utama Sabah

SOOK - Keningau bakal muncul sebagai hab utama pengeluaran padi bukit atau huma di Sabah apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sektor itu melalui pelancaran Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) bagi pembekalan tahun 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, skim berkenaan merupakan inisiatif penting kerajaan untuk meningkatkan hasil padi bukit yang menjadi sumber makanan utama masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, pada musim penanaman 2025 yang bermula Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM42 juta, merangkumi RM27.7 juta untuk pembekalan baja sebatian serta Padi 4 dan RM14.3 juta untuk baja urea cecair.
Selain itu RM11.4 juta pula di- peruntukkan bagi bekalan racun rumpai cecair.
Peruntukan itu akan memanfaatkan 32,047 pesawah melibatkan kawasan tanaman seluas 44,000 hektar di kedua-dua negeri.
“KPKM komited memastikan bantuan ini disampaikan secara teratur dan telus agar pesawah bukit menerima sokongan tepat pada masanya. Usaha ini penting bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos input serta menjamin kelangsungan tanaman,” katanya ketika merasmikan Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pelaksanaan skim tersebut dijalankan bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai agensi pengendali utama yang memastikan bekalan baja dan racun diagihkan secara teratur.
Mohamad turut menegaskan hasrat kerajaan untuk menjadikan Keningau sebagai hab pengeluaran padi bukit atau huma utama Sabah, berdasarkan potensi tanah yang subur serta kemampuan kawasan itu untuk dikembangkan ke arah pengeluaran komersial.
Beliau juga telah meninjau Projek Tanaman Padi Luar Jelapang di Kampung Biah, Keningau untuk melihat sendiri keperluan pengukuhan infrastruktur pengairan termasuk menaik taraf empangan air di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan Jualan Agro Madani, menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus menerusi kerjasama FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.
“Kementerian akan terus menyantuni penduduk luar bandar melalui program Ziarah Kasih Agro Madani agar tiada golongan sasar tercicir daripada perhatian kerajaan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris bin Arriffin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
