Bayaran insentif pembajakan, penuaian padi dibayar secara berperingkat - KPKM

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan pembayaran insentif pembajakan dan penuaian padi kepada pesawah akan dilaksanakan secara berkesan dan berperingkat bermula musim penanaman 2025.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan insentif itu membabitkan dua jenis skim utama iaitu Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dan Insentif Penuaian Padi.
“Kerajaan telah bersetuju menaikkan kadar IPKP daripada RM100 kepada RM160 per hektar bagi setiap musim bermula tahun ini.
“Selain itu, satu insentif baharu turut diperkenalkan iaitu Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 per hektar bagi setiap musim,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut KPKM, pelaksanaan pembayaran insentif pembajakan kepada pesawah itu dibuat melalui dua kaedah utama.
“Pertama, pembayaran tunai tambahan RM60 per hektar akan diberikan kepada pesawah yang telah menyelesaikan kerja-kerja membajak dan mengemukakan tuntutan bagi musim pertama tahun 2025.
“Kedua, pembayaran penuh sebanyak RM160 per hektar akan disalurkan melalui mekanisme sedia ada di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) menerusi penyedia perkhidmatan atau pemilik jentera bagi penanaman musim kedua,” katanya.
Mengulas lanjut, KPKM memaklumkan status pelaksanaan bayaran insentif tambahan RM60 bagi musim pertama ketika ini sedang dalam proses dimuktamadkan.
“Kementerian sedang memuktamadkan nama-nama pesawah yang layak berdasarkan tuntutan dibuat oleh pemilik jentera atau penyedia perkhidmatan.
“Ia akan dibayar sebaik sahaja proses semakan selesai. Namun, proses ini memerlukan sedikit masa kerana ada penyedia perkhidmatan yang telah menyiapkan kerja membajak tetapi belum menyerahkan tuntutan rasmi kepada agensi,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu menjelaskan bagi musim kedua tahun ini, pembayaran insentif pembajakan sebanyak RM160 per hektar akan diteruskan melalui saluran sedia ada.
“Bagi pelaksanaan Insentif Penuaian Padi, KPKM menjelaskan pembayaran RM50 per hektar hanya akan dibuat selepas kerja menuai selesai dan tuntutan dikemukakan oleh pemilik jentuai atau penyedia perkhidmatan yang berdaftar.
“Pembayaran ini akan dilaksanakan bermula musim kedua 2025 dan tertakluk kepada pendaftaran jentuai di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya.
KPKM turut mengakui wujud isu kelewatan pembayaran sebelum ini dan menegaskan kementerian sedang berusaha mempercepatkan proses pembayaran secara berperingkat kepada semua pesawah yang layak.
“Kerajaan kekal komited dalam memastikan setiap insentif sampai kepada golongan sasaran dan akan terus memperkemaskan proses agihan agar lebih cekap dan efisien,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

