Lelaki hanyut Sungai Klang: Operasi pencarian guna dron, diperluas hingga kawasan Selangor

Operasi pencarian seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini diperluaskan sehingga ke kawasan Selangor.
Operasi pencarian seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini diperluaskan sehingga ke kawasan Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi pencarian seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini diperluaskan sehingga ke kawasan Selangor.

Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, operasi diteruskan pada hari kedua, Selasa.

"Laporan terkini pada jam 9.30 pagi hari ini, operasi pencarian mangsa disambung dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan kaedah pencarian di permukaan air melalui susur Sungai Klang sehingga ke kawasan Negeri Selangor.

"Operasi pencarian mangsa juga menggunakan dron," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur terutamanya hujan di kawasan utara menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan arus yang deras menyukarkan operasi penyelamatan.

Sinar Harian terdahulu melaporkan, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Jalan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Isnin.

Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.

Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali, di mana 11 mangsa terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 10 warga asing berjaya diselamatkan, manakala seorang mangsa didapati hanyut dibawa arus sungai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa dikenal pasti iaitu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, paras air sungai setakat ini berketinggian hampir enam meter dan operasi pencarian akan diteruskan bermula dari lokasi insiden terbabit.

"Berdasarkan kejadian tular itu, mangsa dikesan cuba keluar dari keretanya dan cuba menyelamatkan diri, namun air terlampau deras sebelum menghanyutkan mangsa

"Kita masih berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang juga merupakan penyelia tapak projek bagi penambahbaikan Sungai Klang," ujarnya kepada media di lokasi kejadian pada Selasa.

Tambahnya, operasi pencarian akan dilaksanakan sejauh yang mungkin bagi mengesan mangsa.

 

 

Ringkasan AI

  • Operasi pencarian lelaki hilang di Sungai Klang diperluaskan ke Selangor
  • Operasi masuk hari kedua dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air
  • Menggunakan dron dalam operasi pencarian
  • Cuaca tidak menentu dan arus deras menyukarkan operasi
  • Sebelas orang diselamatkan, seorang mangsa masih hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!