WTE dijamin selamat selaras teknologi peringkat antarabangsa - Suee Lim

Suee Lim ketika ucapan penggulungan semasa Sidang DUN Selangor pada Jumaat.
Suee Lim ketika ucapan penggulungan semasa Sidang DUN Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa loji tenaga daripada sisa (WTE) yang bakal siap sepenuhnya kelak adalah selamat dan selaras dengan teknologi terkini yang digunakan di peringkat antarabangsa.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, teknologi WTE kini lebih moden berbanding insinerator lama kerana ia merupakan langkah transformasi daripada tapak pelupusan sisa pepejal konvensional kepada loji mesra alam.

“WTE telah digunakan di Singapura, Jepun dan China. Tapak pelupusan sedia ada di Jeram kini hampir penuh dan untuk menambah kapasiti memerlukan tanah seluas 200 hektar serta kos RM10 juta lagi.

“Dengan WTE, kita boleh mengurus sisa dengan lebih efektif dan ekonomi,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) pada Jumaat.

Suee Lim menambah, kerajaan negeri telah membina dua loji WTE dengan kapasiti 3,000 tan sehari oleh Worldwide Holdings Berhad yang dijangka siap hujung tahun ini dan beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa setiap bantahan dan pandangan rakyat diambil kira sebelum pelaksanaan projek.

Suee Lim turut berkongsi pengalamannya melawat loji WTE di Tokyo, sambil memaklumkan bahawa terdapat sekolah di negara itu yang terletak hanya 30 meter dari loji berkenaan dan telah beroperasi selama puluhan tahun tanpa sebarang isu.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab melaksanakan projek ini untuk generasi akan datang demi alam sekitar yang lebih baik dan pencemaran minimum.

“Ini satu sejarah baharu bagi Selangor. Kita beralih daripada tapak pelupusan tradisional kepada WTE yang merupakan teknologi sentiasa berkembang,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN-Kuang) dalam celahannya berkata, rakyat tidak meragui konsep WTE tetapi bimbang terhadap pencemaran akibat pergerakan 200 lori sampah yang akan melalui kawasan perumahan setiap hari.

“Kami yakin teknologi ini bagus dan apabila siap, mungkin boleh dijemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang dan Kuang untuk melihat sendiri.

“Namun, penduduk bimbang lori sampah yang masuk dan keluar setiap hari akan menjejaskan kebersihan serta nilai hartanah di kawasan mereka.

“Proses kelulusan termasuk Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) perlu diambil perhatian serius jika terdapat bantahan rakyat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor menjamin loji WTE yang digunakan adalah selamat dan canggih setanding teknologi antarabangsa
  • Teknologi WTE merupakan langkah transformasi ke arah pengurusan sisa mesra alam daripada tapak pelupusan sisa pepejal konvensional
  • Loji WTE efektif dalam mengurus sisa dengan lebih baik dan ekonomi, mengelakkan keperluan tambahan tanah luas dan kos tinggi
  • Kerajaan negeri telah membina dua loji WTE dengan kapasiti 3,000 tan sehari yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan
  • Walaupun teknologi WTE diterima, kebimbangan terhadap pencemaran dan gangguan dari pergerakan lori sampah harian tetap menjadi perhatian penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!