Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi jalan paling teruk di Malaysia

Kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang. Gambar kecil: Mohd Fazli
- Foto: Facebook Mohd Fazli
Kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang. Gambar kecil: Mohd Fazli - Foto: Facebook Mohd Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Lebuhraya Pasir Gudang yang sebelum ini tersenarai sebagai jalan kedua paling teruk Malaysia, kini tidak lagi berada dalam kelompok 10 jalan paling teruk di negara.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perubahan  itu hasil pelaksanaan kerja penambahbaikan secara berterusan sejak kerajaan negeri mengambil alih pemantauan di laluan berkenaan.

"Dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di Lebuhraya Pasir Gudang, jalan ini merupakan jalan teruk.

"Selepas itu pemantauan kenderaan berat yang lebih muatan dilakukan. Jalan Pasir Gudang ini selalu digunakan kenderaan berat sebab terdapat banyak kawasan industri dan sebagainya," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.

Mohamad Fazli (Bukit Pasir- BN) sebelum itu menjawab soalan tambahan ADUN Permas (BN), Baharudin Mohamed Taib mengenai tempoh siap projek Lebuhraya Pasir Gudang dan isu lampu jalan di Lebuhraya Pasir Gudang.

Jelas beliau, meskipun penyelenggaraan jalan ini adalah dibawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), namun bagi tujuan penyelenggaraan lampu jalan terdapat dua agensi iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menguruskannya.

"Bermula dari stesen minyak di Perling sehingga ke Persimpangan Perling sepanjang 1.5 km di bawah seliaan JKR, terdapat 52 tiang lampu dan setakat ini tiada kerosakan direkodkan.

"Seterusnya dari Persimpangan Perling ke Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting sepanjang 23.5km, seliaan lampu jalan adalah di bawah MBJB yang mana terdapat 1,308 tiang lampu dengan 167 unit lampu jalan rosak.

"Untuk memastikan keadaan lampu disepanjang kawasan ini berada dalam keadaan baik, MBJB telah melantik kontraktor penyelenggaraan tahunan bermula tahun 2026," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ketika ini, MBJB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikkan kerosakan kabel bawah tanah dan kelengkapan bagi membaiki lampu jalan rosak dengan anggaran kos RM1juta yang dijangka akan siap pada 15 Disember ini.

"Bagi mengurangkan kerosakan kelengkapan lampu jalan, MBJB juga akan melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dengan tindakan menggantikan lampu jalan sedia ada kepada lampu jenis LED Pintar sebanyak 1,308 unit yang dianggarkan berjumlah RM6 juta," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Lebuhraya Pasir Gudang tidak lagi tersenarai dalam 10 jalan paling teruk di Malaysia
  • Perubahan status akibat pelaksanaan kerja penambahbaikan oleh pihak kerajaan negeri Johor
  • Penyelenggaraan lampu jalan di Lebuhraya Pasir Gudang melibatkan dua agensi iaitu JKR dan MBJB
  • MBJB melantik kontraktor untuk penyelenggaraan lampu jalan dengan anggaran kos RM1juta, siap pada 15 Disember
  • MBJB akan menggantikan 1,308 unit lampu jalan sedia ada kepada lampu jenis LED Pintar, anggaran RM6 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!