KPKT perkenal lima reformasi perumahan Madani, sasar sifar projek sakit tahun 2030

Kor Ming (dua dari kiri) ketika Program Reformasi Perumahan Madani.
Kor Ming (dua dari kiri) ketika Program Reformasi Perumahan Madani.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan lima Reformasi Perumahan Madani dalam usaha mencapai sasaran sifar projek perumahan sakit dan terbengkalai menjelang tahun 2030.

Pelancaran Program Reformasi Perumahan Madani disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Putrajaya pada Khamis.

KPKT dalam satu kenyataan berkata, program itu bertujuan mewujudkan ekosistem perumahan yang berintegriti dan telus agar setiap projek dapat disiapkan dengan lebih teratur.

Menurutnya, di bawah slogan ‘Rumah Pembeli, Kami Peduli’, lima reformasi utama diperkenalkan meliputi aspek perundangan, pendigitalan dan pengukuhan integriti industri perumahan.

“Reformasi pertama melibatkan penggubalan Akta Pemajuan Harta Tanah sebagai pengganti Akta 118. Akta baharu ini memperluaskan skop kawal selia kepada projek komersial serta mengemas kini peruntukan undang-undang bagi menampung model pembangunan baharu termasuk skim pajakan, rent-to-own (RTO) dan projek resi-office.

“Kedua, pelaksanaan Perjanjian Jual Beli elektronik (eSPA), kini dalam fasa rintis melibatkan 83 pemaju sebelum diwajibkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2026.

“Melalui eSPA, Jabatan Perumahan Negara (JPN) dapat menjejak transaksi dan kemajuan pembinaan secara langsung, manakala pembeli menikmati kemudahan tandatangan digital, tandatangan warga asing, serta integrasi automatik dengan sistem eStamping Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN),” katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, manakala reformasi ketiga memperkenalkan Housing Integrated Management System (HIMS), sebuah platform digital bersepadu yang mengawal selia seluruh kitaran hayat pembangunan perumahan.

Jelasnya, HIMS membolehkan pemantauan masa nyata ke atas data projek, aliran kewangan dan status lesen pemaju.

Artikel Berkaitan:

“Sistem ini juga akan diintegrasikan dengan bank-bank utama, OSC, Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memastikan setiap transaksi projek lebih telus dan boleh diaudit.

“Selain itu, KPKT turut memperkukuhkan Sistem TEDUH sebagai reformasi keempat.

"Platform ini menyediakan akses kepada orang awam untuk menyemak status lesen pemaju, kemajuan projek, membuat aduan, serta menjadi rujukan sahih bagi institusi kewangan sebelum meluluskan pinjaman perumahan.

“Reformasi kelima melibatkan audit digital Akaun Pembangunan Perumahan (Housing Development Account-HDA) yang memastikan setiap pembiayaan atau pinjaman pemaju direkodkan dengan jelas bagi melindungi hak pembeli,” ulasnya.

Ringkasan AI

  • KPKT memperkenalkan lima Reformasi Perumahan Madani untuk mencapai sasaran sifar projek perumahan sakit dan terbengkalai menjelang tahun 2030
  • Program tersebut bertujuan mewujudkan ekosistem perumahan yang berintegriti dan telus
  • Lima reformasi itu meliputi aspek perundangan, pendigitalan dan pengukuhan integriti industri perumahan
  • Pelaksanaan Perjanjian Jual Beli elektronik (eSPA) diwajibkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2026
  • Audit digital Akaun Pembangunan Perumahan (Housing Development Account-HDA) memastikan pembiayaan atau pinjaman pemaju direkodkan secara telus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!