Garis panduan lupus abu, teks al-Quran rosak dalam tanah dikaji

Noridzuan (kiri) bersama petugas yang terlibat semasa proses menggali semula teks al-Quran rosak di tapak penanaman di Masjid Kampung Bintang di Temerloh . Foto: FB JAIP
Noridzuan (kiri) bersama petugas yang terlibat semasa proses menggali semula teks al-Quran rosak di tapak penanaman di Masjid Kampung Bintang di Temerloh . Foto: FB JAIP
A
A
A

KUANTAN - Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melaksanakan kajian 'Pembangunan Garis Panduan Pelupusan Abu dan Teks al-Quran Rosak dengan Kaedah Menanam di Dalam Tanah bagi menyediakan garis panduan pelupusan yang lebih sistematik, teratur dan mematuhi syarak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, kajian itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Menurutnya, kajian itu melibatkan proses menggali semula teks al-Quran yang telah ditanam jawatankuasa Masjid Kampung Bintang, Temerloh pada tahun 2015.

"Proses penggalian itu dijalankan 17 November lalu bagi menilai tahap penguraian bahan tersebut selepas tempoh 10 tahun.

"Hasil penilaian dari kajian diketuai Dr Fatimah Mahmud dari Fakulti Pengurusan Industri UMPSA ini akan menjadi rujukan penting bagi pembangunan garis panduan pelupusan teks al-Quran ini pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Noridzuan berkata, proses pengumpulan data dan sampel kajian itu turut dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temin, Jerantut, lokasi penanaman abu teks al-Quran rosak sejak 2019.

Noridzuan menunjukkan keadaan teks al-Quran rosak yang digali semula. Foto: FB JAIP
Noridzuan menunjukkan keadaan teks al-Quran rosak yang digali semula. Foto: FB JAIP

Katanya, proses penggalian semula tapak penanaman itu dilakukan 4 September lalu selepas enam tahun bagi menilai keadaan semasa tekstur abu al-Quran rosak.

Artikel Berkaitan:

"Data diperoleh direkodkan dan seterusnya dihantar ke makmal UMPSA untuk dianalisis," katanya.

Tambah beliau, selain proses menggali semula teks al-Quran di Kampung Bintang, pihaknya dan UMPSA juga telah menyediakan tapak kajian khas di Pekan dan Chenor.

"Tapak kajian itu merupakan lokasi teks al-Quran rosak ditanam sebelum ini.

"Di tapak kajian di Chenor, sebanyak 3,390 kilogram teks al-Quran rosak telah dilupuskan melalui kaedah ini pada Disember tahun lalu.

"Bahan yang dilupuskan bagi tujuan kajian ini terdiri teks al-Quran basah dan kering dengan kulit; teks al-Quran basah dan kering dicarik dan teks al-Quran basah dan kering tanpa kulit," katanya.

Beliau berkata, proses penguraian bahan tersebut akan dikaji di mana tapak kajian tersebut digali dari masa ke semasa bagi meneliti proses penguraian yang berlaku sehingga sempurna" ujarnya.

Jelasnya lagi, kajian seumpama itu julung kali dilaksanakan dan apabila selesai kelak, satu garis panduan khas dapat disediakan sebagai rujukan pelbagai pihak.

Ringkasan AI

  • JAIP melaksanakan kajian pelupusan Abu dan Teks al-Quran Rosak dengan kerjasama UMPSA
  • Kajian melibatkan penggalian semula teks al-Quran yang telah ditanam selama 10 tahun untuk menilai penguraian
  • Proses pengumpulan data dan sampel juga dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam untuk kajian keadaan tekstur abu al-Quran rosak
  • Kajian julung kali dilaksanakan ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan pelupusan teks al-Quran yang mematuhi syarak
  • Hasil kajian akan menjadi rujukan penting bagi pembangunan garis panduan pelupusan teks al-Quran pada masa akan datang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!