Penerjun 'base jump' tersasar pendaratan ketika pertunjukan di Menara Kuantan 118

KUANTAN – Tiga penerjun, termasuk seorang warga asing tersasar dari kawasan pendaratan yang ditetapkan semasa melakukan terjunan dalam acara Base Jump Extreme Challenge di Menara Kuantan 188 di sini pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, ketiga-tiga penerjun terbabit selamat dengan hanya seorang mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, acara tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Pesta Kuantan 188 yang melibatkan seramai 17 peserta dari dalam dan luar negara.
“Semasa sesi terjunan dari Skydeck Menara Kuantan 188 kira-kira jam 5 petang, tiga penerjun mengalami insiden tersasar dari lokasi pendaratan.
“Salah seorang peserta, seorang warga emas berusia 62 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas mengalami kecederaan ringan akibat terhempas di kawasan bersimen,” katanya.
Mohd Adli berkata, dua lagi peserta termasuk seorang warga Australia yang tersasar jatuh ke atas pokok dan di kawasan sungai tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Punca awal insiden dipercayai disebabkan keadaan angin kencang dan faktor teknikal ketika proses pendaratan.
“Pihak penganjur dan petugas keselamatan telah mengambil tindakan pantas dengan memberikan bantuan kepada peserta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

