PRN Sabah: Calon GRS janji terus bawa penyelesaian isu kampung tidak diwartakan

A
A
A

KUKUSAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Samsiah Usman menegaskan bahawa isu pewartaan perkampungan menjadi antara fokus utama beliau sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Menurut Samsiah, pewartaan kampung merupakan asas penting dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat kerana hanya selepas kampung digazetkan, barulah pembangunan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Apabila kampung telah digazetkan, barulah boleh dilakukan penstrukturan kampung serta pembinaan infrastruktur.

“Bantuan kerajaan juga boleh disalurkan dan pelbagai program pembangunan lain dapat dilaksanakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat.

Tambahnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan terdapat beberapa perkampungan yang telah wujud sejak puluhan tahun namun belum pernah diwartakan secara rasmi.

“Namun selepas GRS memerintah, empat perkampungan setinggan yang berpuluh tahun tiada status kini telah digazetkan.

“Semua ini dilakukan demi memperbaiki dan menaik taraf kehidupan penduduk, khususnya masyarakat setempat,” ujarnya.

Samsiah turut merayu sokongan pengundi di Kukusan agar diberikan peluang untuk meneruskan usaha pembangunan kawasan tersebut demi masa depan yang lebih baik.

“GRS telah membuktikan kemampuan di Kukusan dan saya berharap agar rakyat memberikan peluang sekali lagi untuk menjadikan Kukusan lebih maju,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Calon Gabungan Rakyat Sabah, Samsiah Usman, menjadikan pewartaan perkampungan sebagai fokus utama
  • Pewartaan kampung penting untuk pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat
  • Setelah kampung digazetkan, pembinaan infrastruktur dan penyaluran bantuan kerajaan dapat dilaksanakan
  • Di Kukusan, beberapa perkampungan lama belum digazetkan namun GRS sudah gazetkan empat perkampungan setinggan
  • Samsiah meminta sokongan untuk meneruskan pembangunan di Kukusan demi masa depan yang lebih baik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!