MPP Wilayah Persekutuan distruktur semula kerana tidak aktif

Annuar Musa. Foto Sumber Internet
Annuar Musa. Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penamatan khidmat semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan adalah usaha penyusunan semula MPP agar fungsinya lebih efisyen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, penstrukturan semula itu dijamin akan dilakukan dalam tempoh tidak lebih dari 14 hari dengan menyedari kepentingan MPP kepada rakyat.

Menurutnya, tindakan penamatan khidmat MPP diambil selepas pihaknya mendapat laporan perkhidmatan MPP tidak memuaskan, selain separuh daripadanya gagal mematuhi garis panduan.

"Tidak lebih 14 hari, MPP akan berfungsi semula. Tindakan diambil kerana berdasarkan laporan yang saya terima, kira-kira separuh MPP didapati tidak aktif.

"Banyak MPP yang dilantik pada 2019, tidak pernah sekali pun menghantar laporan balik kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau PBT, sedangkan waktu pelantikan mereka diberikan peraturan dan kaedah (pengoperasian).

“Oleh kerana MPP diberi peruntukan dan elaun yang bukan kecil, mereka perlu patuhi garis panduan, selain memaklumkan perbelanjaan yang dibuat (kepada PBT berkaitan),"katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Seramai 10 Ahli Parlimen hari ini dalam satu kenyataan bersama memohon kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan MPP, kerana akan menjejaskan proses bantuan kebajikan terutama ketika negara dilanda kemelut penularan koronavirus (Covid-19).

Annuar berkata, pihaknya sedia berunding dan mengambil pandangan demi memperbaiki pentadbiran MPP agar dapat terus diperkasakan.

Artikel Berkaitan:

“Yang Berhormat berkaitan boleh cadang sesiapa untuk dilantik dalam MPP. Kita nak MPP yang dilantik boleh beri khidmat, tak boleh jadi alat kepada sesiapa.

"Kerajaan mahu yang boleh beri khidmat kepada penduduk tanpa kira fahaman politik, sekali gus menjamin kehidupan penduduk di Wilayah Persekutuan," katanya.