Perlanggaran jentera skylift punca runtuhan ECRL

Kesan kerosakan pada besi dikesan susulan insiden kemalangan di tapak projek ECRL. Foto Bernama
-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kesan kerosakan pada besi dikesan susulan insiden kemalangan di tapak projek ECRL. Foto Bernama -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

GOMBAK – Runtuhan struktur sementara kanopi keluli di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Seksyen Lapan, yang menghempap sebuah kereta pada Selasa dipercayai berpunca daripada perlanggaran jentera 'boom skylift'.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perlanggaran itu berlaku ketika kerja pemeriksaan ketebalan cat dijalankan oleh subkontraktor projek.

Menurut beliau, siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut mendapati struktur perlindungan tersebut tidak direka untuk menampung beban hentakan, sekali gus menyebabkan ia gagal berfungsi apabila dilanggar.

"Selain itu, kerja berisiko tinggi tersebut telah dijalankan tanpa kebenaran bertulis (Permit Kerja) daripada Kontraktor Utama, China Communication Construction Sdn. Bhd.

"Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengarahkan baki struktur kanopi keluli yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja khas di tapak Projek ECRL di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves pada Rabu.

Boom 'skylift' merujuk kepada jentera kerja yang menggunakan 'lengan' berengsel untuk mengangkat pekerja atau peralatan binaan ke kawasan tinggi seperti kerja pembinaan, penyelenggaraan bangunan dan membaiki lampu jalan.

Sebelum ini, seorang wanita nyaris maut selepas kereta dipercayai dihempap runtuhan binaan projek ECRL dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves pada Selasa.

Menurut Abdul Rahman, siasatan terperinci akam diteruskan bagi menyiasat punca kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu 'boom skylift' turut dipanggil untuk siasatan terperinci. Kita tidak mahu menuduh mana-mana pihak lagi.

"Saya mahu adil dengan semua pihak, sekiranya didapati bersalah memang kita akan (mengenakan) denda tetapi buat sementara ini saya tidak akan mengulas panjang mengenai kesalahan tersebut,” ujarnya.

Kata Abdul Rahman, JKKP diarah untuk menjalankan pemeriksaan keseluruhan di jajaran ECRL berdekatan jalan raya bagi memastikan setiap kerja oleh kontraktor mematuhi peraturan sedia ada.

"Semua kontraktor perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan sepanjang tempoh projek," kata beliau.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, beliau berkata, wanita terbabit tidak mengalami kecederaan serius namun mengalami trauma akibat insiden tersebut.

"Mangsa diberikan cuti sakit selama tiga hari. Keretanya pula disahkan mengalami total loss.

"Perkara itu kita serahkan sepenuhnya kepada pihak insurans dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut," kata beliau. 

 

Ringkasan AI

  • Runtuhan struktur kanopi keluli di tapak ECRL disebabkan oleh perlanggaran jentera 'boom skylift'
  • Perlanggaran berlaku semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat oleh subkontraktor tanpa kebenaran bertulis dari Kontraktor Utama
  • Struktur perlindungan gagal berfungsi kerana tidak direka untuk menampung beban hentakan
  • JKR telah mengarahkan pembukaan baki struktur kanopi keluli untuk mengelakkan risiko kejadian berulang
  • Siasatan terperinci akan diteruskan untuk menyiasat punca kejadian dan semua kontraktor diarah patuhi peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!