Insiden kereta dihempap tiang besi ECRL: Pemandu wanita selamat, tidak cedera - Polis

GOMBAK – Polis mengesahkan pemandu wanita yang terlibat dalam insiden sebuah kereta dihempap tiang besi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves pada Selasa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 2.40 petang selepas sebuah tiang besi pembinaan dikatakan tumbang secara tiba-tiba.
"Siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 44 tahun itu sedang memandu kenderaan jenis Suzuki Swift dari arah Karak menuju ke Gombak sebelum struktur besi berkenaan menghempap keretanya.
"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keretanya rosak akibat dihempap tiang besi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita nyaris maut dalam kejadian itu.
Mangsa difahamkan berjaya dikeluarkan orang awam beberapa minit sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.
Ringkasan AI
- Pemandu wanita terlibat dalam insiden kereta dihempap tiang besi ECRL di Jalan Lingkaran Tengah 2 tidak mengalami kecederaan
- Insiden berlaku sekitar jam 2.40 petang di arah Batu Caves
- Wanita berusia 44 tahun itu memandu Suzuki Swift dari Karak ke Gombak sebelum insiden
- Kereta mangsa rosak akibat dihempap tiang besi
- Punca kejadian masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

