Padah ‘wheelie’ atas jalan raya, dua pelajar Tingkatan Dua didenda RM9,300

KOTA BHARU - Gara-gara menjadikan jalan raya sebagai gelanggang menduga kelajuan motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’, dua remaja lelaki berusia 14 tahun masing-masing berdepan hukuman denda dengan jumlah keseluruhan RM9,300.
Hukuman itu diputuskan selepas kedua-dua pelajar Tingkatan Dua berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Nazri Omran pada Ahad.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa menunggang motosikal dengan mengambil bahagian dalam aktiviti menduga kelajuan secara berbahaya sambil melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) lebih daripada sekali sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menunggang motosikal di jalan raya sedangkan belum mencapai umur yang dibenarkan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Perindustrian Padang Tembak di sini kira-kira jam 6.50 petang pada 19 November lalu.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, pertuduhan pertama memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, seorang daripada remaja berkenaan turut berdepan pertuduhan menggunakan motosikal di jalan raya tanpa mempamerkan nombor pendaftaran hadapan.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(4) akta sama yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM3,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Afifi Jannati Asshaari, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika merayu hukuman diringankan, kedua-dua remaja yang hadir bersama ibu bapa masing-masing memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.
Bagaimanapun, Afifi Jannati memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap mereka.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan RM1,000 terhadap tertuduh pertama, manakala tertuduh kedua didenda RM4,300.
Tertuduh pertama boleh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda, manakala tertuduh kedua boleh dipenjara empat bulan jika gagal berbuat demikian.
Kedua-dua tertuduh telah menjelaskan denda masing-masing.
Sebelum ini, media melaporkan tiga remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikesan menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’ ekstrem di Jalan Perindustrian Padang Tembak di sini, bakal didakwa mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes berkenaan merupakan yang pertama direkodkan JPJ Kelantan selepas Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan Seksyen 42A berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu.
Bagaimanapun, seorang daripada tiga remaja terbabit gagal hadir ke mahkamah hari ini menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Sinar Harian pada 19 November lalu melaporkan, tiga remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikesan melakukan aksi 'wheelie' dan perlumbaan motosikal secara ekstrem bakal berdepan pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
Ketiga-tiga mereka merupakan individu pertama di Kelantan yang akan dituduh di bawah seksyen tersebut selepas dikenal pasti sebagai penunggang paling agresif berdasarkan rakaman risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ketika Operasi Khas Motosikal yang diadakan dari jam 5 hingga 7 petang pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

