Tiga anak Allahyarham Kapten AA berlepas ke Oman pagi ini

Isteri Saifuddin Nasution, Datin Seri Norhayati Musa bersama pegawai beliau hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyantuni tiga beradik itu, Luth, Hud dan Isa, sebelum berlepas. FB Saifuddin Nasution
Isteri Saifuddin Nasution, Datin Seri Norhayati Musa bersama pegawai beliau hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyantuni tiga beradik itu, Luth, Hud dan Isa, sebelum berlepas. FB Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR -  Tiga anak Allahyarham Akhmal Asyraf, atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, berlepas ke Oman pagi ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bapa mereka yang akan dikebumikan di negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isterinya Datin Seri Norhayati Musa bersama pegawai beliau hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyantuni tiga beradik itu, Luth, Hud dan Isa, sebelum berlepas.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Saifuddin Nasution berkata, beliau dan isteri memahami betapa beratnya ujian yang sedang dihadapi tiga beradik itu susulan kehilangan bapa tersayang.

"Sebak hati mengenangkan anak-anak yang masih kecil ini sedang berdepan kehilangan ayah tersayang. Moga ALLAH SWT menjaga mereka sepanjang perjalanan dan mempermudah segala urusan mereka sekeluarga di Oman,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas bantuan memastikan urusan perjalanan tiga beradik itu berjalan lancar.

Saifuddin Nasution juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga Allahyarham serta menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga.

Ketiga-tiga beradik itu menerima pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam semalam selepas Kementerian Dalam Negeri membantu menyelaras urusan dokumen perjalanan dengan wakil keluarga.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Akhmal Asyraf, pengacara dan personaliti media sosial RARETV, meninggal dunia di Muscat pada Khamis lepas selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!